SUBANG, 21 Feb 24 – Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang untuk dibawa pulang ke Kuching, Sarawak.
Jenazah Allahyarham diterbangkan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130H yang berlepas pada 1.58 petang tadi. Terdahulu, jenazah tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada 1.05 tengah hari sebelum diberi penghormatan terakhir. Turut berkenan memberi penghormatan terakhir adalah Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Hadir sama adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.