HARI KESELAMATAN PANGKALAN UDARA SUBANG

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 3 Apr 24 – Pangkalan Udara Subang di bawah kelolaan Pegawai Keselamatan Pangkalan, Mej Sukri bin Sarjeng TUDM serta Base Safety Committee telah menganjurkan Hari Keselamatan Pangkalan yang telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM dan turut dihadiri oleh semua Pegawai Memerintah, Ketua Cawangan dan juga Ketua Unit bersama seramai 300 anggota pangkalan mengikut kuota yang telah ditetapkan.

Hari Keselamatan yang dianjurkan dengan slogan ‘Sentiasa Beringat, Raya Pasti Selamat’ bertujuan bagi mempertingkatkan kesedaran keselamatan dan menambah pengetahuan tentang perihal keselamatan dalam kalangan warga pangkalan semasa atau sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 2024 serta memberi kesedaran dan tanggungjawab individu terhadap keselamatan, serta menekankan pentingnya mengambil tindakan proaktif untuk mengurangkan risiko kemalangan.

Pengisian Hari Keselamatan telah dimulakan dengan ceramah keselamatan jalan raya dari pihak PLUS Malaysia Bhd yang diberikan oleh En Pazli bin Kasim dengan tajuk ‘Safer Tomorrow, Starting Today’. Kemudian, diteruskan dengan ceramah ‘Keselamatan Domestik Semasa Pulang Beraya’ daripada pihak PDRM yang telah diberikan oleh ASP Salwani binti Samsudin dari IPD Shah Alam.

7 8 9
10 11 12

 

Sebelum berakhirnya program, Komander Pangkalan telah berbesar hati menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Khidmat Terpuji kepada pegawai dan anggota yang layak serta menyempurnakan Majlis Penyerahan Beg Raya kepada warga Pangkalan Udara Subang yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Sumbangan beg raya kepada petugas adalah sebagai menghargai pengorbanan masa dan khidmat untuk bertugas ketika umat Islam yang lain menyambut hari lebaran bersama keluarga. Semoga keikhlasan bertugas dikurniakan ganjaran pahala yang setimpal.

Di akhir majlis, Komander Pangkalan turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga PU Subang yang beragama Islam dan mengingatkan warga PU Subang agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga di mana saja berada.

Secara keseluruhannya, penganjuran Hari Keselamatan Pangkalan Udara Subang Tahun 2024 pada kali ini telah dilaksanakan dengan lancar dan jayanya. Adalah diharapkan agar Hari Keselamatan Pangkalan Udara Subang Tahun 2024 yang dilaksanakan ini telah memenuhi objektif yang telah ditetapkan serta dapat memberi pengetahuan serta informasi berguna berkenaan keselamatan untuk seluruh warga PU Subang dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif sama ada di tempat kerja mahupun di dalam sebarang aktiviti harian.