CIVIL-MILITARY COOPERATION (CIMIC) PBOU TAWAU KIT TINDAK RAKYAT TAWAU (KTRT)

1 2 3
5 4 6

 

TAWAU, 22 Okt 20 - Pusat Bantuan Operasi TUDM (PBOU) TUDM dengan bantuan Detasmen PASKAU telah menganjurkan sebuah program Civil-Military Cooperation (CIMIC) bagi mendekati masyarakat di Tawau. Menurut Kapt Mohd Dhany bin Mohamad Sarip TUDM selaku Ketua Penempatan PBOU Tawau, idea ini tercetus mengambil kira sebahagian rakyat di sini yang telah kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja atau diberhentikan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PBOU TUDM telah mengumpul sejumlah wang sumbangan bagi membeli keperluan untuk diagihkan. Hasil kutipan dari kalangan anggota PBOU Tawau serta dari orang awam berjaya mencecah jumlah RM 6,000.00 dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Wang tersebut seterusnya digunakan untuk membeli barang keperluan seperti beras, telur, mi segera, bihun, minyak masak, tepung, biskut, tin sardin, serbuk teh, gula dan tin susu pekat untuk kegunaan 100 buah keluarga. Dijenamakan sebagai Kit Tindak Rakyat Tawau (KTRT), kit tersebut telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam masa dua hari dengan mematuhi Peraturan Operasi Standard yang telah digariskan.

PBOU TUDM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang kerana bersedia untuk berkongsi rezeki yang pastinya begitu dihargai oleh para penerima. Sekalung penghargaan turut dikalungkan buat pertubuhan bukan kerajaan Islamic Development Association of Sabah (IDEAS) atas kesudian untuk memberi panduan berkaitan urusan sumbangan di sini.

Adalah diharapkan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat di Tawau, khususnya yang benar-benar asnaf dan terputus bekalan makanan angkara penularan pandemik Covid-19. Usaha sebegini wajar diteruskan dan seharusnya dijadikan salah satu platform untuk membentuk jalinan kerjasama yang erat di antara tentera dan rakyat.

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer