SUBANG, 13 Apr 23 - Sel Keselamatan Pangkalan Udara Subang telah menganjurkan Ceramah Keselamatan Jalan Raya yang telah disampaikan oleh ASP Low Kong Cheong penceramah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. Ceramah tersebut merupakan salah satu program keselamatan pangkalan yang telah dirancang bagi tahun 2023 dan bertujuan untuk memberi kesedaran berkenaan keselamatan jalan raya kepada seluruh warga Pangkalan Udara Subang terutama sekali menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ceramah tersebut telah dihadiri pegawai, anggota LLP serta kakitangan awam. Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Pegawai Laksana Pangkalan, YBhg Kol Yusri bin Jamari TUDM serta warga Pangkalan Udara Subang. Selain daripada ceramah, dalam program tersebut juga telah diadakan Demonstrasi Tatacara Pemeriksaan Kenderaan oleh Fleet Kenderaan Pangkalan Udara Subang dan Taklimat Arahan Keselamatan Sempena Cuti Perayaan oleh Skn 211 HANDAU dan juga Cawangan Bomba.
Selain itu, Pegawai Laksana Pangkalan, YBhg Kol Yusri bin Jamari TUDM juga turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Khidmat Terpuji melibatkan 3 pegawai dan 4 anggota LLP. Diharapkan dengan pengiktirafan ini, mampu memberikan suntikan semangat kepada semua pegawai dan anggota LLP yang lain untuk memberikan khidmat yang terbaik dan mampu mengamalkan budaya kerja yang selamat dalam tugasan seharian.