SUBANG, 27 Feb 24 – Inspektorat TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM telah menganjurkan Bengkel Semakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu peringkat TUDM bagi tahun 2024 yang diadakan di Auditorium Badan Muzik dan Kesenian (MUKES), Pangkalan Udara Subang.
Bengkel yang berlangsung dari 27 Feb 24 hingga 1 Mac 24 ini dilaksanakan bertujuan untuk membuat semakan kepada penulisan laporan projek -projek KIK yang telah dilaksanakan seramai 60 peserta daripada 30 penyertaan supaya laporan ke atas projek-projek KIK yang telah dihasilkan berkualiti dan mengikut keperluan penganjur pertandingan - pertandingan inovasi yang akan disertai pada tahun ini khususnya pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu peringkat TUDM bagi tahun 2024 yang akan dilaksanakan pada bulan Mei 2024. Seterusnya kepada projek-projek KIK yang berjaya, akan dipilih untuk mewakili TUDM ke pertandingan KIK peringkat ATM 2024.
Untuk semakan laporan ini, peserta-peserta bengkel akan dipimpin mengikut kategori dan bidang inovasi oleh lima (5) orang fasilitator yang berpengalaman luas. Fasilitator yang turut serta dalam bengkel ini ialah Lt Kol Saipol bin Jamil TUDM selaku Ketua Fasilitator, Mej Kaswadi bin Mansor TUDM, Mej Dess Iskandar bin Md Zen TUDM, Mej Khairil Ashraf bin Sulaiman TUDM dan Mej Haziq Izzat bin Sulaiman TUDM.
Perasmian pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh PS 1 Inovasi MTU-Inspektorat, Lt Kol Mohamad Rosdzni bin Abdul Karim TUDM selaku Sekretariat Inovasi TUDM. Dalam ucapan, beliau menyatakan bahawa Sekretariat Inovasi TUDM bersama-sama dengan fasilitator yang dilantik akan membantu serta membimbing projek-projek yang bermutu dan layak untuk dipertandingkan sama ada diperingkat TUDM, ATM, Kementerian Pertahanan mahu pun di peringkat Kebangsaan. Beliau juga memohon agar peserta-peserta berusaha dengan gigih agar TUDM dapat mengekalkan sejarah gemilang pertandingan Inovasi dan KIK pada tahun 2023 apabila TUDM telah berjaya merangkul banyak kejuaraan dalam semua pertandingan KIK yang disertai termasuk diperingkat kebangsaan.