KUALA LUMPUR, 7 Mei 24 - Bahagian Sumber Manusia, Cawangan Pengurusan Sumber Manusia telah menganjurkan Bengkel Refresher Penggunaan HRMIS ATM Siri 2/2024 di Makmal Komputer AMSS, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selama dua (2) hari iaitu pada 7 dan 8 Mei 24. Jumlah peserta terlibat adalah seramai 21 orang (6 pegawai dan 15 LLP) dari PU Butterworth, PU Subang, PU Jugra, IPP TUDM, KTU Alor Setar, DMU dan PUSPEKA.
Objektif bengkel ini fokus kepada memantapkan lagi pengendalian HRMIS ATM, meningkatkan kefahaman dalam pengurusan data bagi HRMIS ATM dan mengenal pasti cabaran penggunaan HRMIS ATM di setiap peringkat Markas/Pangkalan/Unit TUDM.
Skop pengajaran adalah berkaitan modul-modul penting yang difokuskan di dalam HRMIS ATM iaitu Pengurusan Rekod Peribadi, Pengurusan Prestasi (SKT/LNPT) dan Permohonan Pertukaran. Seterusnya, difokuskan juga dalam Modul Penilaian Kompetensi, Pembangunan, Perkhidmatan Maklumat dan Pengurusan Perubatan.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Kol Noorisma Eza bin Mat Isa TUDM. Beliau telah menegaskan agar setiap kemasukan data di dalam platform HRMIS perlu sentiasa dikemaskini dan berdasarkan pemeriksaan melalui kaedah live review HRMIS ATM, masih banyak lagi butiran peribadi yang gagal dikemaskini oleh pasukan. Keutamaan bagi menentukan data maklumat peribadi, keluarga, BMI, DKT, dan gambar yang terkini akan diminimumkan melalui pelaksanaan kemas kini maklumat dari semasa ke semasa oleh pihak pasukan. Para peserta bengkel juga diingatkan untuk berkongsi ilmu yang dipelajari kepada Kerani Tadbir lain di pasukan melalui platform pembelajaran Kelas TCI di pasukan masing-masing.
Bengkel yang dilaksanakan selama dua (2) hari ini telah mencapai objektif untuk pegawai dan anggota LLP menjadi lebih kompeten demi memastikan data Sumber Manusia TUDM yang tepat bagi kegunaan pembangunan kerjaya.