![]() |
![]() |
![]() |
Tentera Udara Diraja Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kpl U Muhammad Afifuddin bin Mohd Razali, anggota TUDM dari Skuadron 221 HANDAU Pangkalan Udara Sendayan yang telah mengharumkan nama negara apabila membantu skuad sepak takraw berpasukan negara menamatkan kemarau pingat emas selama 34 tahun pada Temasya Sukan SEA Ke-33 Thailand.
Dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan, libasan terakhir Kpl U Afifuddin menjadi detik penentu apabila berjaya memuktamadkan mata kemenangan pasukan negara, sekali gus memastikan Malaysia muncul sebagai juara acara sepak takraw berpasukan.
Kejayaan bersejarah ini bukan sahaja membuktikan keupayaan atlet negara di pentas antarabangsa, malah mencerminkan tahap disiplin, ketahanan mental serta semangat juang tinggi yang menjadi teras pembentukan anggota TUDM. Penglibatan dan sumbangan Kpl U Afifuddin dalam kejayaan ini turut memperlihatkan komitmen TUDM dalam melahirkan anggota yang cemerlang bukan sahaja dalam tugas ketenteraan, malah dalam bidang sukan berprestasi tinggi.
TUDM amat berbangga dengan pencapaian ini dan yakin kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga TUDM serta generasi muda negara untuk terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.






