KUCHING, 11 Disember 2024 β Pegawai Waran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar, yang merupakan tulang belakang PTT Kanan TUDM dan memegang jawatan tertinggi dalam hierarki Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) TUDM, telah memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat serta pandangan berhubung kebajikan dan masalah anggota LLP TUDM.
Dalam lawatan terakhir beliau di Wisma Bintara Pangkalan Udara Kuching sebagai Pegawai Waran TUDM Ke-9 sebelum menamatkan perkhidmatan dan mengikuti latihan peralihan, beliau telah memberikan amanat penting kepada semua Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK). Beliau menekankan bahawa peranan PTTK adalah amat signifikan dalam memastikan kesiagaan dan pengoperasian TUDM berjalan dengan lancar. Tugas tersebut haruslah dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
PW TUDM turut mengingatkan semua PTTK agar sentiasa menjaga disiplin diri dan menjadi teladan yang baik kepada anggota bawahan. PTTK juga diseru untuk menjauhi segala bentuk kesalahan disiplin atau tatatertib yang boleh menjejaskan nama baik dan integriti PTTK itu sendiri.
Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua PTTK atas sokongan, kerjasama, dan komitmen yang tinggi sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Waran TUDM Ke-9.