AMANAT PROVOS MARSYAL UDARA KE-14 FOKUS KEPADA KESIAGAAN OPERASI,PRESTASI DAN CABARAN CPM TUDM

1 2
3 4

 

Provos Marsyal Udara, Lt Kol Amrul bin Yacob TUDM telah mempengerusikan Mesyuarat Provos Marsyal Udara Siri 1/2023 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Cawangan Provos Marsyal (CPM), Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan pada 11 Jan 23.

Mesyuarat ini merupakan platform untuk beliau selaku Provos Marsyal Udara yang baharu menggalas tanggungjawab tersebut pada 10 Jan 23 bagi menyampaikan arahan serta hasrat terkini pucuk pimpinan TUDM kepada semua pegawai dan anggota di bawah naungan CPM TUDM. Mesyuarat yang diadakan ini juga membentangkan kesiagaan operasi, prestasi dan membincangkan cabaran yang dihadapi oleh unit di CPM TUDM dan Cawangan Penyiasatan Jenayah (CPJ) Zon serta pelan tindakan yang perlu dilaksanakan sebagai langkah untuk mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti. Turut dibentangkan dalam agenda mesyuarat adalah taklimat pengoperasian dan takwim CPJ Zon, taklimat takwim perancangan aktiviti CPM TUDM tahun 2023 dan kursus untuk warga CPM TUDM serta CPJ Zon.

Di akhir sesi mesyuarat, Provos Marsyal Udara telah menyampaikan amanat beliau sebagai Provos Marsyal Udara yang ke-14 dan ucapan penggulungan dengan menyeru seluruh warga CPM TUDM dan CPJ Zon supaya mengambil manfaat daripada taklimat yang telah disampaikan serta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi. Seterusnya beliau berkehendakkan agar setiap warga CPM TUDM dan CPJ Zon yang terlibat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mengatasi cabaran-cabaran tersebut bagi memastikan kedaulatan negara terus dijaga dengan sebaiknya.Turut hadir semua Ketua Zon CPJ, PS 3 Forensik, PW CPM, dan PW Ops.