SENDAYAN, 21 Disember 2022 - Seramai 77 orang penuntut Kursus Pembantu Pentadbiran Peningkatan Kelas II Siri 14/22 dan Kursus Pembantu Pentadbiran Kelas I Siri 77/22 dari Institut Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) berpangkat Koperal Udara ke bawah telah melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Nur Iman. Program ini adalah sebagai satu penekanan kepada para penuntut agar membudayakan nilai moral, kemanusiaan dan keprihatinan sebagai jati diri setiap individu.
PPDK Nur Iman ditubuhkan bagi anak-anak anggota ATM dan orang awam di bawah kelolaan Markas 1 Briged. Entiti ini merupakan pusat asuhan harian yang dilaksanakan bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya (OKU).
Program yang diketuai oleh Ketua Sekolah Pentadbiran INSTAR, Mej Siti Norfadilah binti Omar TUDM; Pegawai Pendidikan Pangkalan Udara Sendayan, Mej Amir bin Abdul Malek; PW U I Mohd Khlib @ Khalib bin Wahab selaku Pegawai Waren INSTAR serta Jurulatih Pentadbiran iaitu F/Sjn (W) Noor Zaiton binti Mohammad, Sjn Mohd Atzahri bin Atan dan Sjn U (W) Siti Zuhaida binti Ghazali.
Di PPDK Nur Iman, terdapat 27 anak-anak istimewa berumur lingkungan 3 tahun - 25 tahun dan dikawal selia oleh 6 orang tenaga pengajar. Ianya merupakan satu strategi dalam pembangunan komuniti yang dilaksanakan melalui usaha bersepadu OKU, keluarga, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, vokasional dan sosial yang bersesuaian.
Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh penuntut kursua adalah pembersihan kawasan, penambahbaikan kawasan persekitaran PPDK serta sumbangan barangan keperluan yang disumbangkan dari penuntut INSTAR.
Melalui program jiwa murni sebegini akan dapat mengeratkan hubungan antara warga udara bersama komuniti setempat khususnya yang memerlukan di samping dapat membantu meringankan beban serta memberi semangat kepada anak-anak istimewa ini untuk meneruskan kehidupan sepertimana kanak-kanak yang lain.