IPOH, 10 Dis 2024 - Akademi Tentera Udara (ATU) telah melengkapkan Takwim 2024 dengan Cabaran Larian 10km dan Penutupan Sukan Interseksyen selaras dengan Tonggak Keenam Panglima Tentera Udara (PTU) Ke-20. Seramai 709 peserta telah mengambil bahagian dalam acara larian ini yang dirasmikan oleh Komandan ATU, Kol Rafiddee bin Dollah TUDM.
Acara dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Pegawai Waran Jasmani mengenai laluan dan disiplin acara sepanjang larian ini berlangsung. Aspek keselamatan juga sangat ditekankan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini. Sehubungan itu, 709 PPAT ATU turut bersiap siaga dalam usaha memberikan bantuan awal kecemasan jika diperlukan. Wakil Jurulatih Jasmani juga memulakan aktiviti dengan senaman regangan agar semua peserta larian berada pada tahap kecergasan optimum.
Larian 10km yang dianjurkan sebanyak empat kali setahun ini turut disertai barisan eksekutif serta seluruh peringkat warga ATU dalam kalangan tentera dan awam. Malah, aktiviti ini juga disertai oleh 441 orang PjM U Siri 68/24. Semua peserta berjaya menamatkan larian dengan baik dan selamat. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang cabaran larian ini berlangsung.
Peserta larian terpantas keseluruhan bagi kategori lelaki tahun ini ialah Kpl U Wan Ain Afnan bin Wan Yusoff dengan catatan masa 48 minit 28 saat, manakala bagi kategori wanita pula ialah Sjn U (W) Nor Azizah Hanim binti Yeop Ibrahim yang mencatat masa larian 1 jam 7 minit 15 saat. Pasukan Hawk turut mengekalkan kejuaraan sebagai Juara Keseluruhan bagi Sukan Interseksyen tahun ini dan membawa pulang hamper serta Piala Pusingan.
Syabas dan tahniah buat seluruh warga Akademi Tentera Udara. Diharapkan penganjuran acara tahunan sebegini dapat melahirkan benteng pertahanan yang sihat dan bertenaga. Warga Akademi Tentera Udara memegang teguh slogan ATU, Cergas Berdisiplin!