PROFIL PEGAWAI WARAN TUDM

PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir telah dilahirkan pada 21 April 1982 di Mentakab, Pahang. Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Abu Bakar dan meneruskan pelajarannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, Pahang Darul Makmur.

Sejak menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 19 Okt 2000, beliau pernah ditempatkan di Sekolah Tentera Udara (STU), Kolej Tentera Udara (KTU), Pangkalan Udara Subang, Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Anggota, Pangkalan Udara Labuan, Markas Wilayah Udara 2 dan Markas Tentera Udara (MTU). Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan seperti Jurulatih, Pegawai Waran Pangkalan Udara Labuan, Pegawai Waran Markas Wilayah Udara 2 dan Pegawai Waran Markas Tentera Udara.

PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir sentiasa menunjukkan kecemerlangan dan komitmen yang tinggi di dalam setiap kursus yang dihadirinya dengan pernah menerima Anugerah Penuntut Terbaik Kursus Jurulatih Kawad Pasukan dan Penuntut Terbaik Kursus Kepimpinan Pegawai Waran. Pengalaman dan pengetahuan beliau dalam bidang Kawad dan Istiadat serta keupayaan beliau dalam mengkoordinasikan perbarisan serta acara-acara rasmi diperingkat Persekutuan, Negeri, ATM dan TUDM menjadikan beliau telah diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Waran Istiadat TUDM pada 7 Disember 2023.

Beliau kini menyandang jawatan Pegawai Waran TUDM dan bertindak sebagai penasihat khas kepada Panglima Tentera Udara berkaitan dengan dasar sedia ada yang melibatkan peraturan perkhidmatan, semangat dan budaya TUDM. Sehubungan itu, beliau juga memberikan khidmat nasihat kepada kepimpinan tertinggi TUDM dari aspek yang melibatkan protokol dan istiadat dalam sesuatu acara yang melibatkan TUDM di peringkat Antarabangsa, Kebangsaan, Negeri dan ATM. Beliau juga berperanan sebagai mata dan telinga yang menyalurkan maklumat dan pandangan berkaitan kebajikan dan masalah anggota LLP TUDM.

Sebagai tanda menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan dan juga Angkatan Tentera Malaysia, PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir telah dianugerahkan Pingat Bentara Angkatan Tentera (BAT) pada tahun 2019 dan Pingat Persekutuan Negara (PPN) pada tahun 2023.

PW U I Mohd Rashidi adalah seorang anggota yang mempunyai akhlak yang terpuji dengan keikhlasan dan kejujuran dalam melaksanakan sebarang tugas. Sikap dedikasi, keazaman dan kegigihan beliau telah banyak membantu dalam menjayakan aktiviti di pelbagai peringkat TUDM dan ATM. Pembabitan beliau secara langsung dalam semua perlaksanaan tugas banyak membantu meningkatkan semangat kepada anggota yang lain dan beliau menjadi contoh di atas segala aspek kemahiran, pengetahuan serta sikap yang terpuji. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2009, 2021 dan 2022 serta diberi kepercayaan memegang jawatan tertinggi di dalam LLP TUDM sebagai Pegawai Waran TUDM yang ke-10 sehingga kini.

PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Eliza Hani binti Zaharudin pada 15 Ogos 2015 dan telah dikurniakan dengan dua(2) orang cahaya mata lelaki.