KUALA LUMPUR, 15 Dis 23 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyambut kedatangan Menteri Pertahanan yang baharu, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang memulakan hari pertama bertugas di Wisma Pertahanan hari ini.
Turut bersama-sama menyambut Menteri Pertahanan ialah barisan kepimpinan TUDM iaitu Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM serta pegawai-pegawai kanan TUDM.
Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham bin Ishak; Panglima Tentera Darat, Jen Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, pegawai dan anggota LLP ATM dan kakitangan awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan turut menyambut kedatangan Menteri Pertahanan Ke-20 yang dilantik berkuatkuasa pada 13 Dis 23.
Sebaik ketibaan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di perkarangan Wisma Pertahanan kira-kira jam 8.00 pagi, beliau telah menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama RAMD. Beliau kemudiannya diperkenalkan dengan pegawai-pegawai kanan TUDM dan ATM yang turut menyambut hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan dan memasuki pejabatnya di Wisma Pertahanan.
Seluruh warga TUDM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di atas pelantikan dan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan yang baharu.