KUANTAN, 10 Dis 23 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Tugu Peringatan dua kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan YAM Tengku Panglima Raja, Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut hadir menyaksikan bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohammad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato' Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM serta perwakilan-perwakilan negara asing ke Malaysia.
Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda berdua pada jam 10.00 pagi disambut oleh Panglima Angkatan Tentera dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry. Kedua-dua kapal perang British yang tenggelam itu, suatu ketika dahulu ditugaskan untuk memintas armada pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.
Bagaimanapun pada 10 Disember 1941, kapal perang HMS Prince of Wales, kebanggaan Tentera Laut Diraja, dan HMS Repulse, kapal perang British terbesar ketika itu, telah ditenggelamkan di lokasi 61 batu nautika di luar pantai Kuantan, dua hari selepas pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu.
Seramai 840 kelasi terkorban dalam kejadian itu termasuk Pegawai Pemerintah HMS Prince of Wales, Kapten John Leach. Tugu peringatan itu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merenung tentang betapa besarnya erti kehilangan disebabkan peperangan.