SENDAYAN, 21 Dis 23 - Brig Jen Hj Ahmad bin Yusof TUDM hari ini telah diberikan penghormatan di dalam Perbarisan Persaraan dan diiringi bersama isteri, Puan Hjh Radziah binti Ismail bertempat di Padang Kawad, Pangkalan Udara Sendayan. Acara Perbarisan ini disaksikan oleh Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Baharudin bin Abu Hassan TUDM yang turut menerima tabik hormat dan diringi isteri, Puan Mazilawati binti Musa.
Sebaik ketibaan, Brig Jen Hj Ahmad bin Yusof TUDM telah menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 12 pegawai dan 140 anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai oleh Mej Abu Huzaifah bin Mohamad TUDM; Ajutan Perbarisan, Kapt Khairul Izwan bin Nawawi TUDM dan Pegawai Waran Perbarisan, PW U I Mohd Syazwan bin Md Isa serta diiringi oleh Pancaragam Gabungan Akademi Tentera Udara, Ipoh dan Kolej Tentera Udara, Alor Setar di bawah pimpinan Lt Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.
Acara perbarisan ini diadakan sebagai satu penghormatan khususnya dari Cawangan Tadbir dan TUDM amnya kepada beliau yang akan bersara dari perkhidmatan setelah menabur bakti selama 42 tahun di dalam perkhidmatan TUDM dan ATM. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (TAKS PA), Markas ATM.
Ketika menitipkan ucapan di acara yang meninggalkan kenangan tersendiri buat beliau, isteri dan keluarga, beliau telah menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan dan barisan pimpinan tertinggi TUDM atas segala sokongan yang diberikan kepada beliau dan isteri di sepanjang perkhidmatan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga turut dipanjangkan kepada Sekretariat dan anggota perbarisan serta pancaragam yang telah menjayakan perbarisan khas buat beliau. Tidak terkecuali ucapan terima kasih kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Ahmad Rashidi bin Ithnin TUDM serta kepada seluruh warga PU Sendayan selaku tuan rumah iaitu lokasi yang meninggalkan nostalgia manis sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Komander Pangkalan tidak lama dahulu.
Beliau turut berharap agar seluruh warga TUDM khususnya Cawangan Tadbir sentiasa melaksanakan prestasi yang bermutu dan cemerlang, bekerja dalam satu pasukan, mempamerkan disiplin yang tinggi serta mengamalkan nilai-nilai teras TUDM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau menegaskan keyakinannya sekiranya seluruh warga TUDM mematuhi arahan dan peraturan, bekerja dengan mengutamakan kecemerlangan, mempunyai nilai integriti yang tinggi dan tidak terlibat dengan isu disiplin, maka seluruh warga TUDM akan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.
Sebagai acara simbolik penghargaan kepada beliau, Brig Jen Hj Ahmad bin Yusof TUDM dan isteri telah diiring beredar meninggalkan lokasi dalam acara 'send off' menggunakan kenderaan istiadat oleh para pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam perbarisan ini.
Turut hadir di perbarisan ini ialah Panglima Rejimen, Brig Jen Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM dan isteri, Puan Zainun binti Zaimudin; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brig Jen Junairi bin Baharom TUDM dan isteri, Puan Salmiah binti Saud; Pengarah Perkhidmatan, Kol Zuhamri bin Mat Daud TUDM; Pengarah MPSTU, Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM; Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Kol Hamdan bin Ahmad TUDM; Pengarah Perundangan, Kol Ahmad Sanusi bin Hj Ali TUDM; Ketua Pengarah Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan MATM, Kol Mohd Zairul Hisham bin Muhamad Ibrahim TUDM serta Pengarah Rancang Cawang Provos Marsyal MATM, Kol Muhsin bin Mat Nor TUDM yang juga hadir bersama isteri masing-masing, para pegawai dan anggota TUDM khususnya Cawangan/Ketukangan Tadbir.
Seluruh warga TUDM mengucapkan terima kasih di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan serta selamat bersara dan selamat maju jaya kepada Brig Jen Hj Ahmad bin Yusof TUDM serta isteri. Semoga segala jasa yang dicurahkan kepada negara menjadi ibadah dan dikurniakan dengan ganjaran pahala dan kesejahteraan oleh Allah SWT di dalam meneruskan kehidupan selepas bersara.