SUBANG, 7 Disember 2023-Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan Upacara Pelantikan dan menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Pegawai Waran TUDM dan Pegawai Waran Istiadat TUDM. Upacara bersejarah buat TUDM ini disaksikan oleh semua yang hadir di Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2023 yang diadakan di Padang Kawad Pangkalan Udara Subang. Turut mengiringi Panglima Tentera Udara di upacara ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.
Panglima Tentera Udara menyempurnakan pelantikan jawatan penting tersebut dengan upacara pemakaian lencana pangkat Pegawai Waran TUDM dan pakaian kepala “Peak Cap” Pegawai Waran TUDM kepada PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar yang dilantik sebagai Pegawai Waran TUDM Ke-9. Seterusnya menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Pegawai Waran TUDM di antara PW U I Mohamad Lockman bin Abdul Jabar kepada penggantinya, PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar.
Penyerahan rasmi tugas dan jawatan dizahirkan dengan penyerahan Tongkat Kuasa Pegawai Waran TUDM dan akad oleh PW U I Mohamad Lockman bin Abdul Jabar kepada Panglima Tentera Udara yang kemudiannya menyempurnakan penyaksian akad penyerahan tugas dan jawatan kepada PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar sebagai Pegawai Waran TUDM ke-9.
Jawatan Pegawai Waran TUDM adalah jawatan tertinggi di dalam hirarki anggota LLP TUDM. Peranan Pegawai Waran TUDM adalah bertindak sebagai penasihat khas kepada Panglima Tentera Udara berkaitan dengan dasar sedia ada yang melibatkan peraturan perkhidmatan, semangat dan budaya TUDM juga berperanan sebagai mata dan telinga yang menyalurkan maklumat serta pandangan berkaitan kebajikan dan masalah anggota LLP TUDM.
Sepertimana upacara pelantikan Pegawai Waran TUDM, Panglima Tentera Udara turut menyempurnakan pelantikan jawatan kedua terpenting dalam LLP TUDM dengan upacara pemakaian lencana pangkat Pegawai Waran Istiadat TUDM dan pakaian kepala “Peak Cap” Pegawai Waran Istiadat TUDM kepada PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir sebagai Pegawai Waran Istiadat TUDM Ke-6.
Penyerahan rasmi tugas dan jawatan turut dizahirkan dengan penyerahan Tongkat Kuasa Pegawai Waran Istiadat TUDM dan akad oleh PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar kepada Panglima Tentera Udara yang kemudiannya menyempurnakan penyaksian akad penyerahan tugas dan jawatan kepada PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir sebagai Pegawai Waran Istiadat TUDM yang baharu.
Tugas utama Pegawai Waran Istiadat TUDM antaranya menentukan pelaksanaan melibatkan istiadat dan protokol khususnya dalam bidang kawad dan istiadat serta mengkoordinasi perbarisan serta acara-acara rasmi di peringkat Persekutuan, Negeri, ATM dan TUDM.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Pegawai Waran TUDM Ke-8, PW U I Mohamad Lockman bin Abdul Jabar di atas segala sumbangan jasa bakti yang dicurahkan untuk perkhidmatan TUDM khususnya serta ATM dan negara amnya. Ucapan tahniah kepada PW U I Ahmad Maulana bin Ab Ghafar yang diamanahkan memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Waran TUDM dan PW U I Mohd Rashidi bin Md Tahir sebagai Pegawai Waran Istiadat TUDM yang baharu.