HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN TUDM 2023 MANIFESTASI PENGIKTIRAFAN TUDM KEPADA WARGANYA

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 7 Disember 2023 – Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM merupakan satu acara yang dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khusus bagi menghargai prestasi setiap pegawai dan anggota TUDM yang telah mengharumkan nama TUDM sama ada di peringkat TUDM serta negara. Acara tahunan ini diadakan bertujuan meningkatkan kecemerlangan dan motivasi warga TUDM.

Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM yang menjadi acara yang khas untuk seluruh warga TUDM telah diadakan pada hari ini bertempat di Padang Kawad, Markas Pangkalan Udara Subang. Majlis dilaksanakan dengan berkonsepkan perbarisan statik terdiri daripada 12 pegawai dan 180 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mejar Mohamad Fahmi bin Abdul Jabar TUDM dari No 16 Skuadron serta diiringi Pancaragam Pusat TUDM dengan kekuatan 35 anggota di bawah pimpinan Kapten Mohd Sabri bin Hamil TUDM. Sebaik ketibaan di medan perbarisan, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mengambil tabik hormat dan memeriksa perbarisan.

7 8 9
10 11 12

 

Di majlis ini, Panglima Tentera Udara telah menyempurnakan penyampaian Kecemerlangan TUDM 2023 kepada semua pemenang mengikut kategori iaitu Anugerah Terbang Selamat, Airman of The Year, Best Quarters of the Year, Training Institute of the Year dan Squadron of the Year. Anugerah Terbang Selamat dianugerahkan kepada juruterbang sebagai pengiktirafan kepada keupayaan serta kemampuan mereka dalam menerbangkan dan mengendalikan pesawat TUDM tanpa mengalami sebarang kemalangan yang berpunca daripada kesilapan juruterbang itu sendiri iaitu (aircrew factor). Penerima anugerah bagi kategori ini adalah Mejar Mohd Abduh bin Mohd Aris TUDM dari Institut Penerbangan 2 dan Mejar Nazrul Nizam bin Ismail TUDM yang merupakan juruterbang peribadi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Anugerah Airman of The Year merupakan anugerah yang diberikan kepada anggota LLP yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam tugas harian dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Anugerah ini terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu kategori Pegawai Waran Udara I/II, kategori Flait Sarjan dan Sarjan Udara dan kategori Koperal Udara ke bawah. Anugerah Airman of The Year bagi kategori Pegawai Waran Udara I/II, telah disandang oleh PW U I Mohd Azizuddin bin Zainal Abidin. Kategori Flait Sarjan dan Sarjan Udara pula telah disandang oleh Flait Sarjan Nor Hazliysham bin Azim manakala kategori Koperal Udara ke bawah telah disandang oleh Koperal Udara Syed Kamarul Arifin bin Wan Morsidi.

13 14 15
16 17 18

 

Bagi anugerah Best Quarters of the Year pula, anugerah yang diadakan bertujuan meningkatkan kecemerlangan di dalam pengurusan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta memupuk semangat kerjasama di antara penghuni dan juga seluruh keluarga dalam mempertingkatkan kualiti hidup yang lebih baik. Johan bagi anugerah Best Quarters of The Year tahun ini telah disandang oleh Akademi Tentera Udara, Naib Johan ialah Sekolah Latihan Tempur TUDM manakala Kolej Tentera Udara ditempat ketiga.

Anugerah seterusnya iaitu adalah anugerah Training Institute of The Year yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun 2019 sebagai satu penilaian prestasi ke atas semua institusi latihan di dalam TUDM. Ia bertujuan untuk menggalakkan persaingan sihat di antara institusi-institusi latihan ke arah melahirkan pegawai dan anggota TUDM yang berdedikasi dan berprestasi tinggi. Di atas kecemerlangan institusi latihan yang dinilai, Johan anugerah Training Institute of The Year bagi tahun 2023 telah disandang oleh Institut Penerbangan 2, Naib johan dimenangi oleh Institut Teknologi Aerospace manakala tempat ketiga menjadi milik Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa.

19 20 21
22 23 24

 

Seterusnya, elemen penting di dalam pengoperasian TUDM adalah pengoperasian skuadron-skuadron. Justeru, Anugerah Squadron of the Year telah diperkenalkan oleh Panglima Tentera Udara pada tahun 2011 bertujuan menilai serta mengukur tahap keberkesanan dan kesiapsiagaan skuadron dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Bagi anugerah Squadron of The Year, No 20 Skuadron telah dinobatkan sebagai Johan. No 18 Skuadron pula merangkul Naib Johan manakala tempat ketiga dianugerahkan kepada No 5 Skuadron.

Signifikan majlis pada hari ini adalah berdasarkan empat faktor utama kepada kejayaan atau key success factors kepada Perintah Ulung Panglima Tentera Udara yang perlu diberi perhatian oleh semua warga TUDM iaitu modal insan yang berkualiti, penjanaan keupayaan aset-aset udara, pengurusan sumber kewangan yang berkesan dan kualiti kepimpinan organisasi bagi memastikan TUDM sentiasa berfungsi sebagai sebuah angkatan udara yang efektif dan kredibel serta menentukan legasi kegemilangan TUDM sentiasa terpelihara.

Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan dan warga TUDM.