MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN SUKAN TUDM 2023

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

SUBANG, 7 Disember 2023 – Bertempat di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, telah berlangsung Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan TUDM Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Penganugerahan ini merupakan satu penghargaan kepada persatuan sukan dan atlet TUDM yang telah memperoleh kejayaan yang cemerlang di samping mengharumkan nama TUDM dalam pertandingan sukan antara perkhidmatan ATM juga di peringkat negara dan dunia.

Anugerah Kecemerlangan Sukan mengiktiraf Persatuan Sukan TUDM yang cemerlang sebagai Johan dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM Tahun 2023. Panglima Tentera Udara selaku Penaung Lembaga Sukan TUDM dengan diiringi Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM merangkap Pengerusi Lembaga Sukan TUDM telah menyempurnakan penyampaian “mock up cheque” insentif khas sebanyak RM1,000.00 kepada setiap persatuan sukan yang menjadi Johan.

Di Majlis ini menyaksikan Kolonel Mohd Azwan bin Mohd Pohari TUDM selaku Pengerusi Persatuan Ping Pong TUDM naik ke pentas menerima insentif khas tersebut atas kejayaan Persatuan Ping Pong TUDM telah berjaya mencipta “quadruple” iaitu kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada tahun ini.

Seterusnya, Leftenan Kolonel Adham Farshid bin Talib TUDM, Pengerusi Persatuan Ragbi TUDM turut menerima insentif yang sama atas kejayaan mengekalkan kejuaraan kali kedua pada tahun ini dalam Kategori 15 Sebelah. Kemudiannya diikuti dengan penyampaian insentif kepada Mejar Siti Nur Huzaimas binti Abdul Razak TUDM, Pengerusi Persatuan Petanque atas kecemerlangan telah berjaya mengekalkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut pada tahun ini.

Majlis turut meraikan atlet yang telah mengharumkan nama TUDM di peringkat negara dan dunia dengan penyampaian insentif Wang tunai dan sijil penghargaan yang dianugerahkan kepada empat warga TUDM iaitu:

1. Koperal U Syazrul Ezat bin Idrus – Atlet Kriket TUDM, ATM, dan Malaysia. Pada Kejohanan ICC Men’s T20 World Cup Asia Qualifier, beliau dinobatkan sebagai “Best Bowler” dan memecahkan rekod dunia menjadi pemain pertama di dunia yang mencapai tujuh (7) wiket dalam format pertandingan T20I.

2. Koperal U Muhammad Afifuddin bin Mohd Razali – Beliau merupakan atlet Sepak Takraw TUDM, ATM dan Malaysia. Antara pencapaian beliau adalah memenangi 2 pingat perak di Kejohanan Sukan Asia Hangzhou China 2022, dalam kategori Sepak Takraw Berpasukan dan Regu. Beliau juga telah membantu kontinjen Malaysia pada Kejohanan Sukan SEA Ke-32, Cambodia dengan menyumbang 2 pingat perak iaitu dalam kategori Sepak Takraw Berpasukan dan Regu.

3. Koperal U Muhamad Syahadat bin Ramli - Beliau merupakan atlet Kriket TUDM, ATM dan Malaysia. Pada tahun 2023, beliau telah terpilih untuk mewakili negara di dalam Kejohanan Sukan SEA Ke-32 di Cambodia dan telah membantu kontinjen Malaysia dengan memperolehi 3 pingat perak di dalam kejohanan tersebut di dalam kategori T10, T20 dan T50.

4. Koperal U Muhammad Wafiq Irfan bin Zarbani – Atlet Kriket TUDM, ATM dan Malaysia. Dikenali dengan “Left Fast Bowler” kerana sering mempamerkan aksi balingan yang memukau semasa pertandingan. Pada tahun 2023, beliau telah terpilih untuk mewakili negara di dalam Kejohanan Sukan SEA Ke-32 di Cambodia dan telah membantu kontinjen Malaysia dengan memperolehi 3 pingat perak di dalam kejohanan tersebut di dalam kategori T10, T20 dan T50.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada persatuan-persatuan sukan TUDM serta Warga Udara yang telah menyumbang kepada kejayaan mengharumkan nama negara. Penglibatan di dalam sukan merupakan “work life balance” dan seiring dengan Tonggak Keenam Perintah Ulung PTU iaitu Kebajikan sosial dan kelestarian warga.

 

Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan,
Jalan Padang Tembak, 50634, Kuala Lumpur.
Emel: pro[at]airforce[dot]mil[dot]my[dot]
Tel: +(60)3-40170056 (Bhg. Perhubungan Awam)
Tel: +(60)3-40170100 (Sek. Kerjaya & Pengambilan)
 
Resolusi Paparan: 1024 x 768 px dengan
Mozilla Firefox, Google Chrome dan
Internet Explorer