Seramai 16 anggota dari Pangkalan Udara Subang (PU Subang) yang terdiri daripada pelbagai ketukangan telah diaturgerak pada fasa kedua pengumuman kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 13 Jan 2021 sehingga 26 Jan 2021 bagi membantu pihak PDRM dalam melaksanakan penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR).
Dalam OP PENAWAR PKP fasa kedua ini, anggota-anggota dari PU Subang telah bekerjasama dengan Markas 11 Briged Kem Sungai Buloh dan Ibu Pejabat Polis Shah Alam. Lokasi SJR yang dilaksanakan adalah di Plaza Tol Bukit Jelutong Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam.
Sebelum memulakan penugasan SJR, taklimat penugasan diberikan oleh pegawai PDRM kepada anggota terlebih dahulu meliputi aspek keselamatan, disiplin dan sebagainya. OP PENAWAR telah dikuatkuasakan berikutan pengisytiharan PKP yang kini melibatkan semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak. Kerjasama yang erat dan bersepadu akan terus dipupuk di antara ATM dan PDRM dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Semoga penguatkuasaan SJR ini dapat membantu usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan menyekat jangkitan wabak berbahaya ini daripada tersebar lebih meluas.