Pangkalan Udara Labuan (PU Labuan) terlibat secara langsung dalam membantu PDRM dalam Operasi Penawar khusus bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang diisytiharkan oleh kerajaan mulai 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021. Wilayah Persekutuan Labuan antara yang termasuk dalam senarai negeri yang dilaksanakan PKP.
Seramai 13 anggota dari Skuadron 216 HANDAU, PU Labuan telah diaturgerak untuk bekerjasama dengan IPD Labuan, 51 Kem Komposit KPD dan Unit Pengawasan Senggara TLDM Timur.
Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan di lokasi yang dikenal pasti, di antaranya ialah di Jalan Patau-Patau dan Jalan Tun Datu Mustapha.
Berikutan penularan wabak COVID-19 yang menjadi ancaman yang sangat berbahaya ini, penguatkuasaan PKP ini akan terus dipergiatkan di dalam memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP sepenuhnya. Orang ramai diminta memberikan kerjasama dan bersama-sama memerangi wabak ini agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.