![]() |
![]() |
SUNGAI BESI, 5 Februari 2025 – Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aeroangkasa (PUSPEKA), Pangkalan Udara Subang, telah melaksanakan Program Jiwa Murni TUDM dalam kategori sumbangan berkaitan ceramah kerjaya bersama pelajar-pelajar Tahun Asasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Program ini merupakan salah satu inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC) tahun 2025 yang berteraskan dasar Teras Keempat (4) CIMIC di bawah Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021–2025, bersempena Hari Taklimat Fakulti Kejuruteraan kepada pelajar Tahun Asasi di Dewan Bestari UPNM.
Program ini dikendalikan di bawah kelolaan Pengarah PUSPEKA, iaitu Kolonel Nornizam bin Kamarudin TUDM, dan disampaikan oleh Mejar Aziizur Rahman, ACPE, P.Eng., Ph.D., TUDM. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 287 orang pelajar serta sokongan penuh daripada pihak pentadbiran Fakulti Kejuruteraan UPNM. Program ini merupakan usaha sama antara PUSPEKA dan Fakulti Kejuruteraan UPNM yang dikoordinasikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNM, Prof. Madya Dr. Ku Zarina.
Antara pengisian utama program ini adalah ceramah kerjaya yang menerangkan aktiviti dan tugas jurutera dalam TUDM secara amnya serta peranan jurutera di PUSPEKA secara khusus. Program ini bertujuan untuk menarik minat pelajar Tahun Asasi bagi menyertai Fakulti Kejuruteraan serta menceburi kerjaya sebagai seorang pegawai tentera dan jurutera ketenteraan (Military Engineer).
Pelaksanaan ceramah kerjaya ketenteraan ini juga dilihat mampu mewujudkan interaksi antara pelajar dan anggota tentera, sekali gus merapatkan hubungan antara pelajar UPNM dari peringkat tahun pertama dengan organisasi pertahanan. Program ini juga diharapkan dapat membuka minda pelajar untuk bersama-sama memilih haluan kerjaya yang berbakti kepada negara.
Diharapkan agar kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memupuk hubungan baik antara warga pertahanan dengan pelajar serta komuniti UPNM.