![]() |
![]() |
KUANTAN, 28 JANUARI 2026 – Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) telah melaksanakan Perbarisan Ketua Staf bagi tahun 2026 bertempat di Padang Kawad MAWILUD 1.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Mej Nazrul Hafiz bin Zaini TUDM, dengan Kapt Ahmad Fadzrul bin Zulkifli TUDM selaku Ajutan Perbarisan. Turut terlibat sebagai Ketua Flait ialah Kapt Mohamad Faridzul Ilani bin Ismail TUDM bagi Flait No. 1 dan Kapt Muhammad Farhan bin Biyamin TUDM bagi Flait No. 2, manakala Pegawai Waran Perbarisan ialah PW U I Mohd Khairul Mazlan bin Hashim.
Acara dimulakan dengan pengambilan tabik hormat dan nyanyian lagu Negaraku serta Perwira Di Angkasa sebelum diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan oleh Ketua Staf MAWILUD 1, Brig Jen Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM. Majlis juga disertakan dengan upacara penyerahan cek sumbangan dari Tabung Angkatan Tentera kepada LU I Muhammad Syazmi bin Saifurizal.
Dalam ucapan Ketua Staf MAWILUD 1, beliau telah menyatakan hasrat menginginkan setiap anggota MAWILUD 1 mempunyai ‘Operational Mindset’ seperti yang digariskan dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara kepada seluruh warga MAWILUD 1. Sebelum perbarisan bersurai, Ikrar Cegah Rasuah telah dilaungkan, diikuti dengan bacaan doa bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga MAWILUD 1.
Pelaksanaan perbarisan ini secara tuntas membuktikan tahap kesiapsiagaan, disiplin dan komitmen tinggi warga MAWILUD 1 dalam merealisasikan aspirasi kepimpinan TUDM sekali gus menzahirkan imej profesional TUDM sebagai sebuah angkatan udara yang berwibawa, berintegriti serta berpegang teguh kepada etika dan budaya rejimental ketenteraan.





