KUALA LUMPUR, 24 November 2020 – Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) melaksanakan satu lagi penerbangan ihsan untuk minggu ini membawa dua (2) bayi lelaki dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan pembedahan segera dan rawatan selanjutnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.
Bayi pertama, Andreus Steve Hendru berusia 1 bulan mengalami masalah jantung dan buah pinggang. Manakala bayi kedua, Fadhli Arman bin Iman Hamizan berusia 2 bulan mengalami masalah jantung dan saluran kencing. Kedua-dua bayi tersebut sebelum ini telah menerima rawatan daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.
Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Khairul Ikhmal bin Ishak TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Mohd Amir bin Shahrin TUDM bersama dua (2) orang ‘Loadmaster’ iaitu FSjn Norfadzley bin Saad dan Sjn U Zaiakmalhisam bin Zainal serta dua (2) orang ‘Supplementary Crew’,iaitu Kpl U Syed Akmal Ashraf bin Syed Ja’affar dan Kpl U Mohd Yazid bin Sapeei.
Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah seorang pegawai perubatan, seorang jururawat dan juga ibu kepada bayi masing-masing. Pesawat berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 6.30 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 9.00 malam.
Pada selasa lalu, TUDM turut melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga (3) bayi yang mengalami masalah jantung daripada Kuching ke Subang. Keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan selain melaksanakan tanggungjawab utama iaitu mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara.
Pesawat yang sama pada awalnya telah melaksanakan penerbangan "logistic comm" membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perubatan daripada KKM dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) daripada Yayasan Amal Malaysia serta Persatuan Pengakap Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu (KK). Selain itu, pesawat ini juga turut membawa sampel ujian COVID-19 daripada Tawau, KK dan Labuan yang diserahkan kepada KKM sebaik tiba di Pangkalan Udara Subang.
Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kesemua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama bersama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan serta membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal serta pihak-pihak yang terlibat dalam memastikan semua misi yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan selamat.