TUDM MELAKSANAKAN PENERBANGAN IHSAN BAWA SEORANG BAYI PEREMPUAN UNTUK RAWATAN SEGERA

1 2 3

 

SUBANG, 15 April 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi perempuan dari Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan rawatan segera di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Bayi perempuan berkenaan, Kalilaturrahman binti Mohamad Hafiz berusia 48 hari yang mengalami masalah jantung dan paru-paru sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut C130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Aiman bin Mohd Akbar TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Raja Mohamad Fairul Shafiq bin Raja Mohamad Aznan TUDM dan Kapten Muhammad Nursaidi bin Mohd Dzali TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mej Mohd Azrin bin Zaihari TUDM; Jurumalim, Kapten Azizan bin Aziz TUDM serta Kuartermaster Udara serta kru teknikal pesawat.

Penerbangan membawa bayi berkenaan berlepas dari Kuala Terengganu pada jam 2.30 petang dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 3.20 petang. Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah ibu bayi berkenaan, Nofatihah binti Abd Wahab berserta pegawai perubatan, Dr. Mohamad Hakim bin Rashid dan dua orang jururawat. Bayi berkenaan terus dibawa menaiki ambulans sejurus tiba di sini.

Penerbangan ihsan dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam menunaikan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.

Seluruh warga TUDM mendoakan supaya bayi berkenaan diberikan kesembuhan dengan mendapat rawatan pakar dengan segera.