TUDM LAKSANAKAN PENGHANTARAN 37 KOTAK BARANG SUMBANGAN KEBAJIKAN MAKANAN KEPERLUAN ASAS KE SABAH

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 21 Feb 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah meneruskan lagi bantuan logistik penghantaran barangan sumbangan makanan keperluan asas ke Sabah. Penghantaran udara melalui penerbangan “logistic communication” melibatkan sebuah pesawat angkut A400M TUDM telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Tawau pada jam 7.00 pagi yang membawa barang-barang sumbangan kebajikan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas. Barangan sumbangan kebajikan tersebut adalah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik Covid-19.

Barangan sumbangan kebajikan makanan keperluan asas yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin sebanyak 37 kotak dengan anggaran berat keseluruhan 665 kg. Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal jam 5.00 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.

Pesawat telah dikendalikan oleh Mejar Khairul Ikhmal TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhd Izwan TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain turut terlibat adalah dua (2) orang loadmaster iaitu PW U II Hairy, dan Sjn U Nur Amsyar.

Menerusi penghantaran barang sumbangan kebajikan kali ini, bekalan asas makanan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik Covid-19 di Tawau, Sabah. Ianya adalah hasil sumbangan kebajikan yang disalurkan melalui Yayasan Ikhlas iaitu sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009. TUDM telah melaksanakan bantuan penghantaran yang sama pada 11 Feb lalu dalam usaha membantu penduduk di Sabah yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua petugas termasuk anak kapal No. 22 Skuadron dan anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang yang sentiasa bersiapsiaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam usaha memastikan semua proses berjalan lancar. Semoga kerjasama bersepadu semua pihak dalam menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan.