SUBANG, 18 Jun 21 – Pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu pesawat angkut C-130H dari No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang hari ini telah diatur gerak ke Wilayah Persekutuan Labuan, dalam penghantaran bantuan kit makanan. Bantuan kit makanan adalah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia (KWPM) untuk diagihkan kepada penduduk Wilayah Persekutuan Labuan bagi kawasan terjejas yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 15 Jun 2021 berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang mendadak.
Antara barangan yang dibawa dalam penerbangan ini adalah barangan keperluan asas iaitu pek beras, gula , tepung gandum dan pek minyak masak dengan anggaran berat keseluruhan yang diterbangkan oleh pesawat TUDM hari ini adalah 4 tan.
Proses memuatnaik barangan ini telah dimulakan pada jam 5.00 pagi dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Proses ini telah dilakukan oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dengan kerja sama loadmaster pesawat C-130H.
Pesawat yang dikendalikan oleh Mej Aiman bin Mohd Akbar TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Mohd Fuad bin Mohd Nazir TUDM selaku pembantu juruterbang telah selamat berlepas pada jam 7.00 pagi dari Pangkalan Udara Subang. Turut telibat adalah jurutera penerbangan, Mej Nik Hasri bin Nik Leh TUDM, jurumalim pesawat, Kapt Mohd Firdaus bin Zaini TUDM, tiga (3) orang loadmaster iaitu PW U II Jonas Gama, Sjn U Jaurey bin Martin, Sjn U Zamzuri bin Mat Jusoh serta seorang pramugari Sjn U (W) Maneesha a/l Nehru Raju
Sebaik mendarat di PU Labuan pada jam 11.20 pagi, barangan sumbangan dengan bantuan loadmaster serta anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara PU Labuan telah melaksanakan kerja-kerja pemindahan barangan sumbangan untuk diserahkan oleh kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat W.P Labuan bagi tujuan agihan kepada komuniti yang telah dikenalpasti.
TUDM sentiasa komited dan bersiapsiaga dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan demi menjaga kedaulatan negara disamping menjalankan tugas-tugas penghantaran dalam misi menyalurkan bantuan bagi kesejahteraan rakyat dan negara. Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada semua anak kapal No. 20 Skuadron, anggota Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Labuan serta semua pihak yang menjayakan dan melancarkan proses penghantaran kit makanan tersebut.