KUANTAN, 1 Mac 23 - Berikutan keadaan hujan lebat berterusan yang melanda di kawasan Pantai Timur dan Selatan negara menyebabkan beberapa kawasan telah dinaiki air dan laluan darat telah terputus hubungan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengatur gerak pesawat TUDM untuk bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi membawa tiga (3) orang pesakit yang kritikal ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
MEDEVAC yang dikoordinasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Rompin bersama TUDM ini membawa pasukan perubatan dari HTAA, Kuantan diketuai oleh Dr Ummu Qurratu’aini binti Kamaruddin untuk mengiringi pesakit yang memerlukan khidmat rawatan kecemasan. Sebuah pesawat helikopter jenis EC725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan telah diamanahkan melaksanakan misi bagi mengambil tiga (3) orang pesakit yang kritikal dari Klinik Kesihatan Perwira Jaya, Rompin untuk mendapatkan rawatan kecemasan ke HTAA, Kuantan dengan segera.
Pesawat yang dikendalikan oleh Komander Pesawat, Mejar Mohd Husni bin Mohd Tarmizi TUDM dan Pembantu Juruterbang Kapten Muhamad Aminudin bin Abd Muian TUDM serta Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Mohd Affendy bin Mat Ya telah berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 5.04 petang dan mendarat di Padang Sekolah Kebangsaan Felda Selancar 1, Muadzam Shah. Pesawat yang membawa pesakit berkenaan selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan pada jam 8.07 malam. Seterusnya, pesakit-pesakit berkenaan dibawa oleh pasukan perubatan dan tiba di HTAA pada jam 8.32 malam untuk rawatan seterusnya.
Semoga usaha semua pihak dalam misi MEDEVAC kali ini membolehkan pesakit mendapat rawatan segera dan dikurniakan dengan kesembuhan. TUDM tetap komited di dalam melaksanakan misi ini demi kelestarian kesejahteraan rakyat. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan misi penerbangan ihsan ini. Komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat diharap berterusan dikekalkan pada masa hadapan.