TUDM BANTU MELAKSANAKAN PENGHANTARAN BARANG SUMBANGAN KEBAJIKAN DARIPADA NGO KE SABAH

1 2 3
4 6 7
8 9 10

 

SUBANG, 11 Feb 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosial bagi bantuan logistik penghantaran barangan ke Sabah. Penghantaran udara melalui penerbangan “logistic communication” melibatkan sebuah pesawat angkut A400M TUDM telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu pada jam 7.00 pagi yang membawa barang-barang sumbangan kebajikan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas. Barangan sumbangan kebajikan tersebut adalah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik Covid-19.

Antara barangan sumbangan kebajikan yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin dengan anggaran berat keseluruhan 6,650 kg. Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal jam 5.00 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.

Pesawat telah dikendalikan oleh Mejar Mohd Shafique TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Mohamad Ridhwan TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain turut terlibat adalah tiga (3) orang loadmaster iaitu PW U II Amran, Sjn U Mohd Hashimi dan Sjn U Abdullah. Menerusi penghantaran barang sumbangan kebajikan kali ini, sebanyak 1,000 pek daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asas makanan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 meliputi kawasan Semporna, Tawau dan Lahad Datu dengan jumlah sumbangan bernilai RM 1.4 juta. Ianya adalah hasil sumbangan kebajikan yang disalurkan melalui Yayasan Ikhlas iaitu sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua petugas termasuk anak kapal No. 22 Skuadron dan anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang yang sentiasa bersiapsiaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam usaha memastikan semua proses berjalan lancar. TUDM juga turut mendukung usaha dan kerjasama bersepadu semua pihak yang menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan.