TIMBALAN PANGLIMA TENTERA UDARA MENGHADIRI INTERNATIONAL DEFENCE INDUSTRY FAIR 2023 (IDEF 23) DI ISTANBUL, TURKIYE

2 3 4
5 6 7
11 12 13
14 15 16
17 18 19
21 23

 

ISTANBUL – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menghadiri “International Defence Industry Fair 2023” (IDEF 23) yang bermula pada 23 hingga 30 Julai 2023. Beliau turut diiringi oleh Timbalan AKS - Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Udara, Brig Jen Mohd Sani bin Omar TUDM dan Ketua Tim Projek Dalam Negeri UAS, Mej Mohd Fareez bin Omar TUDM.

“International Defence Industry Fair 2023” (IDEF 23) telah berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 25 hingga 27 Julai 2023 bertempat di Tuyap Fair Convention and Congress Centre, Istanbul, Turkiye. Pameran pertahanan ini dihoskan oleh Kementerian Pertahanan Negara Turkiye dan di bawah pengurusan Yayasan Angkatan Tentera Turkiye yang mengumpulkan pelbagai syarikat pertahanan ternama dari dalam dan luar negara.

Timbalan Panglima Tentera Udara telah mengadakan perjumpaan bersama Turkish Air Force Commander, Jen Atilla Gulan serta turut membincangkan berkaitan hubungan kerjasama pertahanan di antara TUDM dan Turkish Air Force berkenaan bantuan logistik perolehan aset baharu iaitu pesawat UAS MALE, ANKA. Selain daripada itu, beliau turut mengunjungi beberapa reruai (booth) syarikat pertahanan terbesar tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian. Beliau dan delegasi turut sama menghadiri Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh pihak tuan rumah sebagai menghargai tetamu negara yang menghadiri IDEF 23.

Pada 28 hingga 29 Julai 2023, Timbalan Panglima Tentera Udara telah mengadakan lawatan ke Turkish Aerospace Industries (TAI) di Ankara, Turkiye. Lawatan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau bagi melihat pembuatan pesawat jenis ANKA buatan pihak TAI di kawasan Production Line TAI tersebut. Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman mengendalikan simulator pesawat 5th Generation buatan TAI iaitu pesawat KAAN.

IDEF 23 menjadi platform terbaik yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Timbalan Panglima Tentera Udara di acara yang dihadiri di peringkat antarabangsa khususnya dalam mengeratkan hubungan diplomasi serta kerjasama pertahanan khususnya ke arah memperkasakan TUDM sebagai sebuah organisasi yang unggul bertepatan dengan visi dan misinya.