TIM PEMANTAU ANTARABANGSA MINDANAO - 16 (TPA M-16) TERUSKAN MISI UNTUK KEAMANAN SERANTAU

WhatsApp Image 2021 03 24 at 113012 1 WhatsApp Image 2021 03 24 at 113012 WhatsApp Image 2021 03 24 at 113013 1
WhatsApp Image 2021 03 24 at 113013 WhatsApp Image 2021 03 24 at 113014 1 WhatsApp Image 2021 03 24 at 113014

 

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2021 – Tiga (3) pegawai TUDM adalah di antara 26 orang pegawai dan anggota yang akan meneruskan kesinambungan tugas di bawah Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao -16 (TPA M-16) yang menggantikan TPA M-15 yang akan menamatkan penugasan di Mindanao.

Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA M-16) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM bertempat di Wisma Perwira ATM, hari ini. Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM turut hadir sama menyaksikan perasmian TPA M-16 bersama-sama Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM serta Panglima-panglima Perkhidmatan yang lain. Turut berlangsung adalah acara pemakaian lencana TPA M-16 dan penyerahan Jalur Gemilang oleh Panglima Angkatan Tentera kepada Ketua Misi, Mejar Jeneral Datuk Hj Hamdan bin Ismail.

Penghantaran TPA M-16 adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan juga persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi memantau gencatan senjata antara GPH (Goverment of Philippine) dan MILF (Moro Islamic Liberation Front). Daripada perkhidmatan TUDM yang menyertai misi tim pemantau ialah Kol Roslan bin Salam TUDM yang akan membuat tugas sebagai Ketua Staf; Lt Kol Mohd Azhar bin Mohd Yusof TUDM,Tim Ketua Penempatan 2 dan Mej Azahan bin Mansor TUDM selaku Pegawai Tadbir/Logistik.

Tim Pemantau dari Malaysia terdiri daripada lima (5) pegawai Tentera Darat Malaysia, tiga (3) pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, tiga (3) pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, dua (2) pegawai Polis Diraja Malaysia dan tiga (3) Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri.

Komposisi TPA M-16 adalah melibatkan 26 pegawai dan anggota daripada tiga (3) buah negara. Malaysia merupakan Lead Nation dan mempunyai komposisi yang terbesar iaitu sebanyak 16 pegawai. TPA M-16 ini juga melibatkan pegawai-pegawai daripada negara Brunei (9 orang) dan Kesatuan Eropah iaitu seorang dari negara Ireland.

TPA M-16 dijangka akan berlepas pada hujung Mac 2021 ke Manila dan seterusnya ke Mindanao dengan menggunakan pesawat komersial yang diketuai Ketua Misi berserta 15 ahli tim tersebut. TPA M-16 kemudiannya akan menjalani kuarantin wajib yang ditetapkan oleh Kerajaan Filipina selama tujuh (7) hari di Manila dan lima (5) hari lagi di kawasan tanggungjawab masing-masing.

Untuk rekod sejarah, penglibatan Malaysia mengetuai Tim Pemantau Antarabangsa – Mindanao (TPA M) bermula pada 10 Oktober 2004 berikutan jemputan daripada Kerajaan Filipina atau GPH dan MILF. Penubuhan TPA Mindanao adalah sejajar dengan Chapter 8, menyelesaikan sebarang konflik yang timbul secara aman melalui rundingan serantau tanpa melibatkan UN Security Council.

Seluruh warga TUDM mengucapkan selamat meneruskan khidmat dan bakti sebagai wakil negara demi keamanan sejagat di dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.