![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 2 April 21 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM turut menyaksikan perasmian kereta Berperisai Mobiliti Tinggi (HMAV) 4x4 pertama negara yang diberi nama “TARANTULA” yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Kenderaan ini adalah buatan syarikat tempatan MILDEF International Technologies Sdn Bhd yang memiliki keupayaan lasak untuk diaturgerak di atas pelbagai bentuk muka bumi dan mampu mencapai kelajuan sehingga 110 km/j. Tarantula HMAV 4x4 juga terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dengan sistem persenjataan berupaya menembak secara 360 darjah serta dapat memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan tersebut. Nama Tarantula untuk kenderaan berperisai ini berdasarkan sifat dan keupayaannya di dalam kumpulan labah-labah bertaring yang besar dan berbulu yang tergolong dalam famili “Theraphosidae” yang dikatakan mampu mengubah warna dan tingkahlaku sesuai dengan persekitaran serta berupaya membunuh haiwan lain yang lebih besar daripadanya.
Turut hadir ke perasmian ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Muez bin Abdul Aziz; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Penasihat MILDEF International Technologies, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (B) dan Ketua Pegawai Eksekutif MILDEF, Datuk Sri Mohd Nizam Kasa serta diiringi oleh Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.
Kewujudan TARANTULA HMAV 4x4 dijangka bakal membawa satu sinergi yang tersendiri kepada industri pertahanan dan rakan strategik pertahanan secara amnya.