TAKLIMAT ORGANISASI DAN PENGOPERASIAN TUDM KEPADA KETUA SETIAUSAHA (KSU) KEMENTERIAN PERTAHANAN

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUALA LUMPUR, 18 Jan 24 – Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak telah melaksanakan lawatan ulung beliau ke Markas Tentera Udara bagi mendengar taklimat berkenaan organisasi dan pengoperasian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketibaan YBhg Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan telah disambut oleh Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU), Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.

Acara lawatan telah dimulakan dengan menandatangani buku lawatan. Kemudiannya, diteruskan dengan PTU memperkenalkan barisan kepimpinan TUDM kepada YBhg KSU dan sesi taklimat di Bilik Mesyuarat PTU.

Taklimat telah disampaikan oleh Mej Jen Dato' Hj Saharuddin bin Mansor TUDM, AKS Operasi dan Strategi. Antara perkara utama yang difokuskan dalam taklimat ini adalah menerangkan peranan dan fungsi TUDM sebagai peneraju Domain Udara bagi mendukung Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta memberi gambaran ringkas mengenai Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55). Beliau turut membentangkan cabaran-cabaran TUDM dalam memastikan TUDM terus kekal relevan sebagai sebuah Angkatan Udara yang berspektrum penuh. Taklimat tersebut telah mendapat maklum balas positif serta sokongan penuh daripada YBhg KSU.

Pada kesempatan itu juga, PTU telah menzahirkan penghargaan kepada YBhg KSU yang terus berusaha untuk memastikan segala keperluan peruntukan TUDM direalisasikan. Turut serta semasa sesi taklimat ini ialah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM serta Pegawai-Pegawai Kanan TUDM yang lain.