SIDANG VIDEO PANGLIMA ANGKATAN TENTERA SEMPENA PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2021

1 2
3 4

 

KUALA LUMPUR, 27 Januari 2021 – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyaksikan Perutusan Tahun Baharu 2021 oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM melalui Sidang Video di Wisma Pertahanan. Turut mengikuti perutusan tersebut melalui sidang video ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM berserta para Pegawai Kanan TUDM dan anggota yang dipancarkan ke seluruh formasi di dalam TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tan Sri PAT telah menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Panglima-panglima perkhidmatan serta warga ATM, kerana telah memberikan sepenuh dedikasi, pengorbanan, dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan ATM dapat mengharungi cabaran tahun 2020 dengan selamat dan jaya. Ianya membuktikan ATM sentiasa bersedia pada sebilang masa untuk menghadapi cabaran dan halangan, menjadi sebuah angkatan yang lebih fleksibel, sentiasa relevan dalam pelbagai keadaan bagi menghadapi sebarang perubahan persekitaran keselamatan yang tidak menentu demi melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.


Beliau turut menyentuh pencapaian empat (4) teras di dalam Perintah Ulung beliau iaitu memperkasakan kesiagaan aset ATM, memperkasa warga ATM yang cemerlang, mengukuhkan keupayaan ATM di dalam domain siber dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Tan Sri PAT turut menyatakan jangkaan cabaran yang akan ditempuhi oleh ATM untuk tahun 2021 iaitu cabaran pertama mendepani wabak COVID-19, yang secara khusus turut melibatkan warga ATM sebagai petugas barisan hadapan selain pembudayaan norma baharu dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP). Cabaran kedua ialah perolehan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan ATM tahun 2021, yang perlu diuruskan dengan berhemah dan rasional dalam perbelanjaan dan cabaran ketiga ialah berkaitan dengan kompetensi warga ATM dalam kemahiran berkaitan teknologi serta kemampuan mengoperasikan segala jenis peralatan dan sistem yang lebih efisien dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak pembekal luar negara.
Dalam perutusannya juga, Tan Sri PAT telah menyatakan tiga (3) aspirasi sebagai panduan dan hala tuju ATM ke arah kecemerlangan sebagai angkatan masa hadapan yang berupaya memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur. Tiga (3) aspirasi tersebut ialah pertama, ialah mengekalkan empat (4) teras keutamaan di dalam Perintah Ulung beliau; kedua ialah pelaksanaan tadbir urus yang baik atau aspek ‘good governance’ yang merangkumi pengurusan kewangan,aspek kepimpinan dan penerapan modal insan bagi menentukan ATM kekal utuh sebagai tonggak kedaulatan negara melalui pemerkasaan warganya dan aspirasi ketiga ialah membudayakan inovasi sebagai kaedah terbaik ATM dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan dalam persekitaran skop kerja seharian.

Sebagai menzahirkan penghargaan, Tan Sri PAT di dalam ucapannya menegaskan beliau selaku Panglima Angkatan Tentera bersama-sama Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut, Panglima Tentera Udara mewakili seluruh barisan warga ATM melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM. Di akhir perutusan, Tan Sri PAT turut menyeru seluruh warga ATM untuk sentiasa bersatu hati dan saling bekerjasama demi mencapai kejayaan. Kerjasama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan mestilah dieratkan dan disinergi dengan harmoni di samping mengingatkan tanggungjawab menjaga hubungan dengan Pencipta Yang Maha Esa dan hubungan sesama manusia.