SUBANG, 12 Jan 24 – Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan Perasmian Rumah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara bertempat di Pangkalan Udara Subang pada hari ini.
Terdahulu, ketibaan PTU telah disambut oleh isteri beliau, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan merangkap Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU) dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM bersama Isteri.
Rumah BAKAT Udara yang terletak di PU Subang ini merupakan bangunan baharu bagi mengantikan rumah BAKAT UDARA yang dahulunya terletak di Pangkalan Udara Kuala Lumpur. Bangunan ini telah mula diduduki oleh JBU pada tahun 2017.
Sebagai simbolik perasmian, PTU telah menyempurnakan pemotongan riben dan menandatangani papan tanda perasmian.
Turut menyaksikan upacara yang bersejarah ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM.
Selesai upacara perasmian, PTU turut meluangkan masa melihat fasiliti-fasiliti yang terdapat di bangunan tersebut. Kemudiannya, PTU telah dibawa melawat ke "Garden" Rumah BAKAT Udara serta menyempurnakan penanaman pokok durian belanda sebagai simbolik perasmian " Garden" tersebut.
Mengakhiri acara perasmian, Pengerusi JBU telah menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada PTU dan tetamu jemputan.