KUALA LUMPUR, 10 Sep 21 - Pesawat angkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No. 22 Skuadron telah melaksanakan penerbangan bantuan logistik bagi penghantaran bekalan perubatan kritikal ke Sarawak.
Penerbangan “logistic communication” hari ini membawa 67 unit Oxygen Concentrator 10L/Min dan 80 Carton Viral Transport Medium (VTM) iaitu jumlah 40,000 kit dengan anggaran berat sebanyak 2181 kilogram (kg) merupakan barangan sumbangan yang disalurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Bursa Malaysia dan di bawah pengendalian Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF). Penerbangan misi ini adalah perlu bagi menampung operasi dan keperluan mendesak terutamanya di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia di Sarawak berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.
Pesawat yang sama turut membawa bekalan farmasi dan peralatan perubatan kritikal ,peralatan perlindungan diri (PPE) daripada makmal Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kota Kinabalu iaitu 15 carton STARMag 364 Extraction Kit dan 4 Carton Megcore Viral Nucleic Acid Extraction Kit - iaitu kegunaan untuk menjalankan ujian PCR bagi kegunaan fasiliti kesihatan KKM di Kuching, Sarawak.
Pesawat A400M yang berlepas seawal jam 8.00 pagi dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Kuching telah dikendalikan oleh Lt Kol Nazlan Shah bin Zainal TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Nur Antasha binti Zulkarnain TUDM selaku pembantu juruterbang bersama tiga (3) orang loadmaster iaitu F/Sjn Abdul Rahman bin Sumsudin, Sjn U Mohd Hasyimi bin MD Hassim dan Sjn U Wan Muhammad Aiman bin Wan Yusoff serta dua (2) Juruteknik Pesawat iaitu Sjn U Noor Faizal bin MD Yahya dan LUK Syawan Amzar bin Azizan.
Semoga bantuan penerbangan yang dilaksanakan oleh TUDM ini dapat membantu rakyat negeri Bumi Kenyalang ini dalam usaha menangani gelombang peningkatan kes Covid-19. TUDM tetap komited di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan disamping tugas-tugas bantuan operasi demi kesejahteraan dan kedaulatan negara.