![]() |
![]() |
SUBANG, 26 Januari 2021 – Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM hari ini telah menyampaikan Perutusan Sempena Tahun Baharu 2021. Perutusan tersebut disampaikan secara persidangan video (Video Conferencing) dari Bilik Mesyuarat Utama, Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) ke unit di bawah naungannya iaitu Depoh Material Utama (DMU), MATRA serta Terminal Peluru. Perutusan ini juga dihubung terus ke Bahagian Air Logistic Operation Centre (ALOC) dan Auditorium di dalam bangunan MPBU untuk didengar oleh anggota MPBU secara langsung.
Panglima Bantuan Udara telah menzahirkan rasa syukur di atas pencapaian MPBU yang berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2020 meskipun berhadapan dengan cabaran semasa. Antaranya adalah apabila MPBU telah berjaya mencapai sasaran menjadikan kesemua radar pertahanan milik TUDM beroperasi pada tahun 2020. Selain itu, pihak MPBU juga telah berjaya menggerakkan keperluan program menaiktaraf pesawat CN235 melalui program Maritime Security Initiative (MSI). Program MSI ini adalah inisiatif untuk membina kapasiti Maritime Security (MARSEC) di rantau ini.
Pihak MPBU juga telah dianugerah dan diiktiraf sebagai PTJ Terbaik Pengurusan Kewangan Kategori Mega di peringkat Kementerian Pertahanan hasil daripada perancangan serta pengurusan kewangan yang teratur. Antara pencapaian lain adalah berkaitan pengurusan dokumentasi dan “record keeping” yang telah ditambah baik melalui pengwujudan sistem yang dikenali sebagai Air Support Command Digital Integrated Information System (ADIIS).
Bagi tahun 2021, Panglima Bantuan Udara telah memberi penegasan tentang pengurusan kewangan dan perbelanjaan perlu dilaksanakan dengan berhemah berdasarkan perancangan yang rapi dan teliti bagi memastikan kesiagaan status pengoperasian pesawat pada tahap tertinggi. Tanpa perancangan yang teliti dalam pengurusan aset, bajet dan pembangunan modal insan, adalah mustahil untuk pihak MPBU dapat melaksanakan pelbagai misi dan tugasan yang diberikan dengan jayanya.
Beliau turut mengingatkan warga MPBU bagi memastikan misi dan visi MPBU tercapai iaitu setiap peringkat pegawai dan anggota hendaklah bekerja dalam satu pasukan dan jangan sesekali “work in silo”. Selain itu, turut diberi penekanan kepada setiap pegawai dan anggota ialah mengenai perkongsian maklumat (sharing of information) serta penyebaran maklumat (dissemination of information). Menurut beliau, di dalam membantu pihak atasan membuat keputusan dan perancangan yang penting, maklumat-maklumat yang tepat dan semasa hendaklah disampaikan mengikut saluran yang telah ditetapkan.
Di akhir perutusan, Panglima Bantuan Udara menyeru agar semua anggota bersama-sama beriltizam untuk meneruskan usaha gigih serta menerapkan sikap integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negara bertepatan dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara dan nilai teras TUDM. Beliau berharap semua warga MPBU meneruskan usaha gigih bagi mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan Key Performance Indicator (KPI) tahun 2021 dan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai pada tahun 2020. Majlis diakhiri dengan bacaan Yasin dan doa selamat secara maya yang telah dipimpin oleh Pegawai Agama MPBU.