PERUTUSAN PANGLIMA OPERASI UDARA TAHUN 2021

1 2 3
4 5 6
7 8 9


SUBANG, 21 Januari 2021 – Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM hari ini telah menyampaikan Perutusan Sempena Tahun Baharu 2021. Perutusan tersebut disampaikan secara persidangan video (Video Conferencing) dari Auditorium Air Warfare Centre (AWC) ke Markas Formasi dan Pangkalan Udara di bawah naungan seluruh Malaysia.

Panglima Operasi Udara mengucapkan selamat tahun baharu 2021 kepada seluruh warga Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) dan Markas Formasi serta menzahirkan rasa syukur di atas pencapaian MPOU yang berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2020. Walaupun MPOU melalui pelbagai dugaan terutamanya apabila negara sedang berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19, MPOU secara keseluruhannya telah melaksanakan segala misi yang dipertanggungjawabkan khususnya yang membabitkan sokongan logistik bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Antara intipati perutusan, beliau menekan agar tahap kesiagaan atau 'readiness' sentiasa berada pada tahap tertinggi, memfokuskan perbelanjaan mengikut keutamaan bagi keberhasilan operasi yang maksimum, keperluan anggota yang terlatih dan ‘competent’ serta mengadaptasi kehidupan dalam norma baharu. Selain daripada itu, keutamaan warga untuk bekerja dalam satu pasukan serta menghindari sikap ‘work in silo’. Menurut beliau juga, tahun 2021 akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang lebih mencabar. Justeru, ia menuntut agar semua peringkat pegawai dan anggota bersatu sebagai satu ketumbukan yang ampuh dan jitu bagi menghadapi pelbagai cabaran bersama-sama.

Turut sama dalam perutusan tersebut ialah Panglima Wilayah Udara 1 dan 2, Markas Rejimen TUDM (MAREJ), pegawai-pegawai kanan dari markas, pangkalan dan unit.

Dalam pada itu, beliau juga telah menyempurnakan pemakaian Lencana Jurulatih TUDM dan upacara pemakaian pangkat kepada seorang pegawai dan 18 anggota LLP MPOU serta bacaan Yasin dan doa selamat yang telah dipimpin oleh Pegawai Agama PU Subang.