KUALA LUMPUR, 19 Januari 2021 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyampaikan Perutusan Khas Sempena Tahun Baharu Tahun 2021 yang disampaikan secara persidangan video (Video Conferencing) dari Markas Tentera Udara ke markas formasi/pangkalan udara di seluruh Malaysia. Turut sama mendengar perutusan khas tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM: Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Haji Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM berserta para Pegawai Kanan TUDM dan anggota yang juga dilaksanakan secara persidangan video dari lokasi-lokasi yang dikenalpasti sejajar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan Covid-19.
Di dalam ucapan beliau, Panglima Tentera Udara menzahirkan rasa syukur kerana TUDM telah dapat mengharungi cabaran tahun 2020. Januari 2021 adalah tempoh genap setahun beliau menerajui TUDM sebagai Panglima Tentera Udara ke-19 dan berhadapan dengan situasi yang tidak terjangka iaitu krisis kesihatan dunia akibat Covid-19 yang juga memberikan kesan ke atas TUDM. Namun, TUDM masih berupaya melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan cemerlang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini yang melibatkan kehilangan nyawa ataupun kerugian harta yang besar. Beliau turut mendoakan agar seluruh warga TUDM kekal sejahtera dan terpelihara dari segala kemudaratan.
Beliau juga turut menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada seluruh warga TUDM yang memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi kecemerlangan organisasi TUDM. Pencapaian pada tahun 2020 meskipun berhadapan dengan cabaran getir, TUDM berjaya mengekalkan kesiagaan aset pada tahap yang tinggi. TUDM telah berjaya melaksanakan 95% operasi penerbangan di dalam dan luar negara; dengan pesawat angkut TUDM telah melaksanakan sebanyak 420 penugasan merangkumi pergerakan anggota, barangan tentera serta perkhidmatan logistik awam dan penerbangan ihsan manakala pesawat helikopter EC 725 AP telah melaksanakan 260 penugasan melibatkan penerbangan ulang bekal, penukaran trup di kawasan pedalaman bagi menyokong operasi kawalan sempadan serta bantuan udara kepada operasi TLDM dan Markas Angkatan Bersama. Pelaksanaan eksesais meskipun terpaksa dilaksanakan secara perkhidmatan tunggal (single services) kerana cabaran pandemik Covid-19, namun berjaya mencapai objektif eksesais yang ditetapkan dan diperkemaskan mengikut adaptasi norma baharu.
Bagi tahun 2021, Panglima Tentera Udara telah menyatakan kesediaan TUDM untuk sentiasa bersiaga dan memantapkan pengoperasian TUDM dengan pelaksanaan yang bersesuaian, fleksibel, pemerkasaan keupayaan senggaraan TUDM, memfokuskan kebajikan dan moral anggota serta mengadaptasikan norma baharu. Melangkah ke tahun baharu, TUDM telah bersedia mengaturgerak seramai 635 anggotanya di bawah ATM bagi tugasan sekatan jalan raya dan rondaan di dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejajar dengan PKP kali kedua dan Pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan oleh kerajaan pada 14 Jan 2021.
Panglima Tentera Udara turut menekankan pembudayaan perbelanjaan secara berhemah di semua peringkat terutama ketika negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini. Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan kewangan tahun 2021 kepada TUDM bagi membolehkan TUDM membuat perancangan perbelanjaan dengan teliti dan dilaksanakan mengikut amalan tadbir urus yang baik (good governance practices) dan prinsip “value for money”.
Pada hari ini juga menjadi detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau “RMAF Capability Development Plan 2055” atau lebih dikenali sebagai CAP55 oleh Panglima Tentera Udara menggantikan pelan strategik “Air Force Next Generation”. Pelan CAP55 dibangunkan bagi menjamin pelaburan pertahanan secara mampan bagi membolehkan TUDM mencapai ciri-ciri angkatan udara yang kredibel dan berspektrum penuh.
Mengakhiri Perutusan Tahun Baharu 2021, turut diadakan bacaan Yasin serentak bersama seluruh warga TUDM yang menyaksikan perutusan secara persidangan video yang dipimpin oleh Pengarah Agama Markas Tentera Udara, Kol Hj Mat Sukri bin Hj Yunus bagi memohon keselamatan, perlindungan Allah SWT dan kesejahteraan semua.