KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2021 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan pembukaan dan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Gabenor (BOG) Pendidikan dan Latihan TUDM Siri 26/2021 yang diadakan secara persidangan video hari ini.
Persidangan video mesyuarat diadakan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan melibatkan Markas Tentera Udara, Markas Pemerintahan Operasi Udara, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara, Markas Wilayah Udara 1 dan Markas Wilayah Udara 2 berikutan cabaran pandemik Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.
Mesyuarat ini diadakan adalah bagi membincangkan prestasi perbelanjaan serta perlaksanaan aktiviti latihan TUDM berakhir 31 Julai 2021.
Timbalan Panglima Tentera Udara di dalam ucapan pembukaan mesyuarat berkehendakkan semua Markas Formasi, Bahagian dan Pusat Latihan untuk menyelaras dan memperincikan kembali keperluan pelaksanaan kursus kritikal dan latihan yang tertangguh.
Beliau turut mengingatkan Panglima Markas Formasi, Asisten Ketua Staf dan Pengarah-pengarah Bahagian agar memastikan setiap warga TUDM terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam melaksanakan kursus dan bengkel pada fasa norma baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan situasi penularan Covid-19.
Turut serta pada mesyuarat ini adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM, Ahli Lembaga Gabenor serta wakil dari semua markas formasi.