KUALA LUMPUR, 12 April 2021 – Hari ini terakam sebagai memori bersejarah buat TUDM dengan perasmian bangunan Markas Tentera Udara (MTU), Blok JKR 459 oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM. Bangunan ini diambil alih oleh MTU yang sebelum ini menempatkan 91 Rejimen Semboyan Diraja yang telah berpindah lokasi.
Kerja-kerja senggaraan dan ubahsuai bangunan tersebut yang diuruskan MTU-Infrabina telah bermula pada 27 Julai 2020 dan telah disahkan kelayakan menduduki mulai 1 April 2021.
Bangunan MTU (Blok JKR 459) ini akan menempatkan ruang pejabat bagi MTU-Perkhidmatan (Pusat Rekod dan Arkib TUDM), MTU-BSM (Pengambilan), MTU-Materiel (Khidmat Materiel), MTU-Sekretariat (Fleet Kenderaan) dan Lembaga Sukan TUDM.
Turut hadir menyaksikan perasmian Bangunan MTU (Blok JKR 459) ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM; AKS Operasi & Strategi, Mej Jen Dato' Zulkifli bin Hamid TUDM; Pegawai Memerintah MTU, Brig Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan MTU.
PTU dan delegasi turut meluangkan masa melihat persekitaran ruang pejabat dan menyantuni warga kerja yang menduduki ruang pejabat baharu tersebut. Dengan adanya bangunan baharu ini, secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dan kualiti kerja warga MTU dengan kemudahan ruang pejabat yang lebih selesa dan persekitaran kerja yang kondusif.