KUALA LUMPUR, 16 Disember 2021 – Panglima Tentera Udara , Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menghadiri Majlis Penyerahan Rasmi Kalendar ATM Tahun 2022 bertempat di Wisma Perwira ATM pada hari ini.
Terlebih dahulu tetamu dipersembahkan dengan montaj yang memaparkan penglibatan ATM dari ketiga-tiga perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai kumpulan barisan hadapan negara mendepani cabaran Covid-19 yang melanda negara. PERNAMA menterjemahkan penghargaan kepada ATM melalui keluaran Kalendar ATM Tahun 2022.
Panglima Tentera Udara telah menerima Kalendar ATM daripada Pengerusi PERNAMA, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Abdul Aziz bin Hj Zainal (Bersara) yang juga telah menyempurnakan penyerahan Kalendar ATM kepada Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Perkhidmatan yang lain.
Panglima Angkatan Tentera di dalam ucapannya mengatakan bahawa dalam dua tahun kebelakangan ini, rakyat dapat mendengar dan melihat penglibatan Angkatan Tentera Malaysia yang disifatkan berjaya menunaikan tanggungjawabnya dalam membantu negara ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19. Menurut beliau, kemahiran melaksanakan "Military Operations Other Than War" (MOOTW) yang dikukuhkan dengan pendekatan "Whole of Government" dan "Whole of Society" merupakan pemangkin kepada kejayaan-kejayaan yang dicapai, sehingga dapat mengeluarkan negara daripada terus ditimpa kemudaratan yang lebih dahsyat.
Walaubagaimanapun, sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan merupakan penyumbang utama kepada kejayaan-kejayaan tersebut datangnya daripada sifat kesetiaan serta kepatuhan insan ATM itu sendiri yang sanggup mengambil risiko dijangkiti virus, demi melihat rakyat dan negara kembali menikmati kehidupan yang lebih sempurna. Semangat itulah yang membolehkan ATM kekal relevan pada sebilang masa dan warga ATM akan terus mencurahkan bakti menentang musuh yang tidak dapat dilihat sehingga Ianya reda dan terkawal sepenuhnya. Tekad ATM adalah untuk memastikan inisiatif Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan berjaya dicapai.
Sebagai penghargaan kepada ATM, pihak PERNAMA turut menyerahkan cek sumbangan kepada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) bagi tahun 2021 yang bernilai RM150,000.
Turut hadir di majlis ini ialah AKS P&P, Mej Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM serta beberapa pegawai kanan ATM.
PERNAMA sinonim dengan ATM sebagai penyedia perkhidmatan peruncitan namun PERNAMA telah membuat perancangan untuk mengubah strategi perniagaan cara peruncitan lama kepada sistem yang lebih berdaya saing serta peluang perniagaan dan pasaran yang lebih besar disamping keselesaan dan tidak membebankan pelanggan-pelanggannya.