SUBANG, 30 Oktober 2020 – Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan tinjauan persiapan yang dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang (PU Subang) bagi penghantaran keperluan barang-barang kritikal bagi menangani pandemik COVID-19 ke Sabah hari ini.
Perdana Menteri tiba di PU Subang pada jam kira-kira 8.30 pagi dan telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM. Beliau kemudiannya diberikan taklimat ringkas oleh Panglima Tentera Udara berkenaan penugasan pesawat-pesawat TUDM di dalam misi membantu memerangi wabak COVID-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.
Turut mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan ini adalah Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail bin Yaakob; Menteri Kesihatan, YB Dato' Sri Dr. Adham Baba dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato' Sri Muez bin Abd Aziz.
Sejurus selepas taklimat, Perdana Menteri kemudiannya meninjau proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat bagi penghantaran ini.
Pada hari ini, dua buah pesawat angkut telah diaturgerak oleh TUDM bagi misi ini iaitu A400M dari No. 22 Skuadron dan C-130H daripada No. 20 Skuadron.
Pesawat A400M (RMF 182A) telah diterbangkan oleh Mej In’amul Hasan bin Shuhaimi TUDM, Mej Tengku Syed Muhammad Amin bin Tengku Syed Abdul Rahman TUDM, Kapt Mohd Mazhan bin Puteh @Abdullah TUDM dan dibantu oleh loadmaster FSjn Tuan Mohd Razali bin Tuan Abdullah dan Sjn U Mohd Hasyimi bin Md Hassim akan membuat penerbangan dari Pangkalan Udara Subang ke Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu dan kembali ke Pangkalan Udara Subang. Pesawat berlepas pada jam 1000 pagi dan jumlah jam penerbangan pada hari ni akan mengambil masa kira-kira selama 10 jam.
Kelengkapan yang dibawa adalah peralatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sebanyak 150 set, face shield sebanyak 150 kotak, coverall / jumpsuit sebanyak 50 kotak, ward screen sebanyak 10 unit, procedure trolley (15 unit), gown / shoe cover (80 kotak), biological safety cabinet (3 ea), kerusi makmal (3 ea), red cells (4 kotak) dan platlet darah (3 kotak).
Pesawat A400M ini juga turut membawa barangan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi. Barangan ini merupakan sarung tangan getah – 100 kotak (649 kg). Manakala barangan daripada Yayasan Amal Malaysia merupakan kotak tudung (2 kotak), kotak Al-Quran (25 kotak), kotak naskah Doa Darussyifa (3 kotak), kotak pakaian dan peralatan (5 kotak).
Selain itu, turut membawa barangan daripada Kementerian Pertahanan iaitu pelitup muka dan PPE sebanyak 44 kotak serta barangan daripada Sunway Healthcare dengan peralatan ventilator unit (2 ea), pelitup muka (25 kotak) dan hand sanitizer (22 kotak). Jumlah keseluruhan muatan yang dibawa oleh pesawat A400M pada hari ini adalah seberat 15 tan.
Terdahulu, pesawat angkut iaitu C-130H (RMF-182 B) pula telah diterbangkan oleh Kapt Aiman bin Mohd Akbar TUDM, Kapt Mohammad Amirol bin Mohd Deran TUDM, Kapt Mohd Solihin bin Azman TUDM (Navigator), Mej Nik Hasri bin Nik Leh TUDM (Flight Engineer) dan dibantu oleh tiga orang loadmaster iaitu PW U II Jonas anak Gama, Sjn U Muhamad Anuar bin Mohd Yusoff dan FSjn Mohd Shazuwan bin Mohd Juhan. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Subang menghantar barangan ke Kota Kinabalu dan Labuan dan kembali ke Pangkalan Udara Subang. Pesawat C-130H berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 7.00 pagi.
Penerbangan keseluruhan mengambil masa kira-kira selama 8 jam membawa barangan kelengkapan KKM iaitu set PPE sebanyak 400 kotak, face shield sebanyak 50 kotak dan Coverall / Jumpsuit sebanyak 50 kotak. Jumlah keseluruhan muatan yang dibawa oleh pesawat C-130H pada hari ini adalah seberat 5 tan.
Peranan yang dimainkan oleh TUDM dalam membantu negara dalam memerangi wabak COVID-19 amat penting kerana pesawat-pesawat TUDM mampu diaturgerak sebilang masa serta mampu membawa barangan mega ton.
Untuk rekod, bermula dari 22 Mac hingga 27 Okt 2020, sebanyak 17 penerbangan atau sortie penghantaran telah berjaya dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg. Antara barang yang dibawa adalah set PPE, pelitup muka, sarung tangan, hand sanitizer, peralatan hospital medan ATM, peralatan hospital KKM, mesin x-xray, mesin bius, ventilator, bekalan farmasi, COVID-19 test kit, sampel COVID-19, peralatan memasak dan makanan.
Selain itu, sepanjang Oktober ini, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada pihak KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal-makmal Semenanjung Malaysia.
TUDM juga turut membawa 68 petugas yang terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19. Manakala seramai 151 orang Tim Mobilisasi KKM telah dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu.
Semasa tinjauan Perdana Menteri di PU Subang hari ini juga, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai barisan hadapan yang mana sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal serta memerangi wabak COVID-19 di dalam negara.
Semoga kerjasama, komitmen dan usaha bersepadu yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam memerangi wabak ini dapat memberikan hasil yang terbaik kepada negara demi memastikan negara dan rakyat akan kembali sejahtera serta menikmati kehidupan seperti biasa.