ALOR SETAR, 9 Dis 2023 - Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 telah diadakan bertempat di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar. Penyampaian Sayap Penerbangan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datoโ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM kepada 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) yang terdiri daripada 18 orang calon juruterbang pesawat sayap kaku dan 8 calon juruterbang helikopter.
Acara dimulakan dengan perbarisan masuk medan yang terdiri daripada komposisi satu (1) Flait Graduan seramai 26 graduan dan tiga (3) Flait Bantuan seramai 21 Pegawai , 16 Pegawai Kadet dan 138 anggota Lain-Lain Pangkat yang diketuai oleh Kapten Mohd Iszat Hilfi bin Ismail TUDM selaku Ketua Perbarisan. Perbarisan diiringi oleh Pancaragam Gabungan Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Leftenan Hanif bin Che Razak TUDM.
Sebaik ketibaan di medan perbarisan, Panglima Tentera Udara telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan. Konsep perbarisan adalah berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta diiringi dengan penerbangan pesawat helikopter EC 120B dan pesawat PC-7 MK II serta diakhiri dengan Terbang Lintas Hormat pesawat PC-7 MK II semasa Hormat Panglima sebelum perbarisan keluar medan.
Lima (5) piala telah dipertandingkan bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pelatih, iaitu Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Putar), Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik), Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) dan Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar).
1. Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku)- Menepati kualiti dan kriteria yang ditetapkan, Leftenan Muhammad Salihin bin Mohd Sabri TUDM, anak kelahiran Kuala Lumpur dan graduan UPNM dalam Asasi Kejuruteraan seterusnya melanjutkan pelajaran di United States Air Force Academy (USAFA) telah dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku).
2. Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Putar) telah dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Mohamad Hanafi bin Mohamad dari Taiping, Perak dan merupakan graduan UPNM dalam jurusan Penerbangan.
3. Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik) telah dianugerahkan kepada Leftenan Muhammad Amirul Syafiq bin Mohd Nizam TUDM yang berasal dari Taiping, Perak dan merupakan graduan UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kuasa.
4. Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) telah dinobatkan kepada Pegawai Kadet Muhammad Hakimi bin Haini yang berasal dari Pasir Gudang, Johor dan merupakan graduan UPNM di dalam jurusan Penerbangan.
5. Piala Komandan (Pelatih Terbaik Penerbangan Sayap Putar) disandang oleh Leftenan Nik Muhammad Naqiuddin bin Zulkifle TUDM yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang juga graduan UPNM di dalam jurusan Sains Komputer Sistem Keselamatan.
Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelatih yang berjaya menamatkan kursus masing-masing. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Ramli bin Mohd Abd Jabar TUDM serta seluruh warga Kolej Tentera Udara (KTU) khususnya jurulatih INSPEN 1 dan INSPEN 2 serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana KTU sekali lagi berjaya melahirkan juruterbang-juruterbang juga perwira-perwira negara yang bakal berjuang dan mencurah bakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan keluarga para pelatih yang telah memberikan dorongan, motivasi, doa dan menjadi tulang belakang serta semangat di atas kejayaan para graduan sehingga berjaya dianugerahkan Sayap Penerbangan.
Panglima Tentera Udara dan barisan kepimpinan TUDM turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama para pelatih serta ibu bapa selepas selesai acara perbarisan. Turut hadir ke perbarisan ini adalah mantan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Tan Sri Datoโ Seri Abdul Ghani bin Tan Sri Abdul Aziz TUDM (Bersara) iaitu Panglima Tentera Udara Ke-10; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datoโ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datoโ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Panglima Bantuan Udara, Mejar Jeneral Masro bin Kaliwon TUDM serta pegawai-pegawai kanan dan warga TUDM. Selain itu, turut hadir menyaksikan tiga pegawai TLDM yang dianugerahkan sayap penerbangan ialah Panglima Udara TLDM, Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar. Lebih memberi makna kepada pelatih ialah kehadiran ibu bapa dan keluarga mereka yang sentiasa memberi sokongan padu kepada anak-anak mereka yang kini mengorak langkah menjadi juruterbang dan generasi penerus juruterbang di dalam TUDM .