SUBANG, 14 Jun 22 - Perbarisan Penghargaan sempena persaraan Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM telah dilaksanakan hari ini bertempat di Padang Kawad Markas, Pangkalan Udara Subang. Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Dr Hajah Sorayah binti Sidek; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Indera Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM dan isteri, Puan Dewi Mastura binti Tumiran turut hadir menyaksikan dan memberikan penghargaan kepada Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razif TUDM selaku mantan AKS Kejuruteraan.
Acara perbarisan ini diadakan sebagai satu penghormatan TUDM khusus kepada beliau yang akan bersara dari perkhidmatan setelah menabur bakti selama 37 di dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya.
Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM telah menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 11 pegawai dan 153 anggota Lain Lain Pangkat yang diketuai oleh Mej Ir. Ahmad Zuriyadi bin Pawzi TUDM diiringi oleh Pancaragam Gabungan, Pancaragam Pusat TUDM dan Pancaragam Kolej Tentera Udara di bawah pimpinan Kapt Sabri bin Hamil TUDM.
Di dalam ucapannya, Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM menzahirkan terima kasih kepada pucuk pimpinan TUDM serta seluruh warga TUDM khususnya warga Cawangan Kejuruteraan, kerana telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menerajui Bahagian Kejuruteraan TUDM sebagai Asisten Ketua Staf Kejuruteraan yang ke-11. Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pegawai Memerintah MTU, Komander Pangkalan Udara Subang dan barisan Jawatankuasa Kerja yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan perbarisan persaraan untuknya pada hari ini.
Tidak terkecuali ucapan terima kasih bagi pihak isteri beliau, Datin Khalifah @ Norashikin binti Bokhari kepada Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU), Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta seluruh ahli BAKAT Udara kerana telah memberi sokongan yang jitu serta tunjuk ajar sepanjang penglibatan isteri beliau dalam BAKAT Udara.
Beliau menyeru kepada warga TUDM untuk sentiasa meningkatkan dan mempersiapkan diri terutamanya dari segi ilmu pengetahuan, keupayaan dan bersedia untuk berubah agar diri dan organisasi tidak ketinggalan.
Sebagai acara simbolik penghargaan TUDM kepada beliau di akhir perkhidmatannya, Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM dan isteri telah diiring beredar meninggalkan lokasi dalam acara 'send off' menggunakan kenderaan istiadat oleh para pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam perbarisan ini.
Selain Panglima-panglima Pemerintahan, antara jemputan lain yang turut hadir memberikan penghargaan ialah Ketua Pengarah Sekretariat, Mej Jen Dato' Hanafiah bin Abdul Manaf TUDM dan isteri, Datin Zaidah binti Mohamed Hashim; Asisten Ketua Staf- Asisten Ketua Staf; Juruiring KDYMM SPB YDP Agong, Brig Jen Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Hj Yahya TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM, Ahli Jemaah BAKAT Udara serta pegawai-pegawai dan anggota TUDM terutamanya pegawai-pegawai kejuruteraan.
Seluruh warga TUDM mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada perkhidmatan serta selamat bersara dan selamat maju jaya kepada Mej Jen Dato' Ir. Mohamad Razip bin A. Samad TUDM dan isteri.