SUBANG, 6 Mac 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Kanak-kanak lelaki berkenaan iaitu adik Jacob John Lee, berusia 7 tahun mengalami masalah jantung ‘dilated Cardiomyopathy with recurrent ventricular tachycardia /Arrythmogenic Cardiomyopathy with biventricular involvement'. Adik Jacob sebelum ini telah mendapat rawatan di Hospital Wanita & Kanak-kanak Sabah.
Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Arhamar bin Jaffar TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Mohamad Ridhwan bin Yahaya TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah tiga(3) ‘Loadmaster’, Pegawai Waran U II Mohd Azril bin Mohd Ayob, FSjn U Mohd Kabeer bin Kamarudin serta Sarjan U Zaiakmalhisam bin Zainal dan dua(2) krew teknikal, Sarjan U Muhammad Izwab bin Jusoh dan Sarjan U Khairul Amri bin Azahari.
Pesawat A400M berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 2.59 petang dan selamat tiba di Subang pada jam 7.13 petang. Turut mengiringi adik Jacob dalam penerbangan ini adalah ibu beliau serta seorang pegawai perubatan iaitu Dr. Lo Chai Ling. Adik Jacob terus dibawa menaiki ambulans sejurus tiba di sini.
Seluruh warga TUDM mendoakan supaya adik Jacob dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan adik Jacob.