KUALA LUMPUR, 17 Ogos 22 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyempurnakan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
Majlis dimulakan dengan penyampaian Amanat Menteri Kanan Pertahanan bagi enam bulan pertama pemerintahan beliau bagi tahun 2022. Bagi menyahut saranan kerajaan untuk mengimarahkan Bulan Kebangsaan, Kementerian Pertahanan turut melancarkan Majlis Kibar Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan dengan penyerahan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz mewakili warga Kementerian Pertahanan (MinDef) dan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM mewakili warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut hadir ke majlis pelancaran bersama Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Hj Ayob, Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian dan ATM serta Pengerusi LTAT, YM. Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara); Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT, Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman serta Ahli Lembaga dan barisan kepimpinan LTAT, syarikat-syarikat kumpulan di bawah naungan LTAT dan Agensi Kementerian Pertahanan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50 bagi memperingati peranan LTAT kepada seluruh warga ATM. Bertemakan “Transformasi Nadi LTAT”, sambutan kali ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai usaha dan perancangan LTAT untuk meneruskan pelan transformasi menjadi dana persaraan yang berdaya saing bagi membolehkan LTAT mengisytiharkan kadar dividen yang mampan dan lestari.
Menteri Kanan Pertahanan turut melancarkan Affin Mobile Financial Centre atau Bank Bergerak Affin yang telah mula beroperasi pada 1 Ogos 2022. Bank Bergerak ini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti pembukaan akaun Bank, permohonan pinjaman, permohonan kad kredit dan juga transaksi melalui Mesin Teler Automatik dan Mesin Deposit Tunai.
Warga TUDM di Wisma Pertahanan turut mengambil peluang mendapatkan maklumat-maklumat semasa, membuat semakan caruman ahli di kaunter-kaunter pameran yang disediakan. Pihak Muzium TUDM turut membuat pameran perkisahan sejarah sempena mengenang jasa-jasa wira-wira TUDM khususnya di era insurgensi serta pameran replika pesawat TUDM.