![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM telah mewakili Menteri Pertahanan untuk menyampaikan ucaptama dalam International Seminar: Towards a Landmine-Free World – The Case of Azerbaijan yang berlangsung di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini hari ini.
Dalam ucapan, Panglima Tentera Udara menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha membasmi ancaman periuk api dan semua bentuk sisa letupan peperangan (Explosive Remnants of War (ERW)) di peringkat global. Beliau menyatakan bahawa sebagai antara negara pertama di Asia yang menuju bebas dari periuk api, Malaysia memainkan peranan aktif dalam meningkatkan kesedaran awam serta membantu negara-negara yang terkesan.
Beliau turut menekankan bahawa kesan buruk periuk api jauh mengatasi sebarang nilai strategik ketenteraan dan menggesa supaya lebih banyak negara memperkukuh kerjasama dalam misi kemanusiaan seperti nyah periuk api, pemusnahan bahan letupan dan bantuan kepada mangsa.
Merujuk kepada Landmine Monitor Report 2024, beliau memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 5,757 orang menjadi mangsa periuk api dan ERW di seluruh dunia pada tahun lalu. Di Azerbaijan sahaja, sebanyak 3,400 mangsa telah direkodkan sejak tiga dekad lalu, manakala 1.5 juta periuk api masih dipercayai tertanam.
Panglima Tentera Udara mengakhiri ucapannya dengan harapan agar seminar ini menjadi medan untuk merapatkan kerjasama antarabangsa dalam menyokong mangsa, memperkukuh misi nyah periuk api serta menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan Resolusi 58/22 Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang menuntut pemansuhan periuk api sebagai asas kepada hak asasi sejagat.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), YBhg Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus; Naib Pengerusi SUHAKAM, YM Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid dan Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, H.E. Irfan Davudov.