PANGLIMA TENTERA UDARA MANFAATKAN PLATFORM PAMERAN UDARA "AERO INDIA 2023" KE ARAH MEMPERKASAKAN HUBUNGAN STRATEGIK PERTAHANAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA

1 2 5
3 4 6
7 8 9

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM menghadiri Aero India 2023 yang sedang berlangsung bermula 13 hingga 17 Februari 2023 di Stesen Tentera Udara di Yelahanka, Bangalore, India. Turut serta mengiringi Panglima Tentera Udara dalam lawatan ke pameran antarabangsa ialah Brigedier Jeneral Hj Muhammad Taha bin Hamdan TUDM, Komander Pangkalan Udara Labuan manakala isteri Panglima Tentera Udara, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan yang turut mengiringi suami bersempena Aero India 2023 bagi program melibatkan isteri tetamu jemputan dari Panglima Tentera Udara India. Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Benggalaru, India telah disambut oleh Kolonel Mohd Mansor bin Mohd Sharip, Atase Pertahanan di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Delhi bersama isteri Puan Aishah binti Ahmad yang membantu menguruskan keperluan logistik dan persediaan sepanjang penglibatan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Aero India 2023.

Panglima Tentera Udara dan delegasi menghadiri Majlis pembukaan rasmi Aero India pada 13 Feb 23 yang disempurnakan oleh H.E Narendra Modi, Perdana Menteri India di Yelahanka, Bangalore, India. Aero India 2023 menjadi platform terbaik bagi Panglima Tentera Udara memanfaatkan peluang bertemu rakan sejawatan serta mengeratkan hubungan kerjasama pertahanan di peringkat antarabangsa. Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Naib Ketua Turus Angkatan Pertahanan Udara Jepun, Leftenan Jeneral Takuto Ogasawara. Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan kerjasama dua hala dari segi latihan serta kepakaran serta jalinan kerjasama dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana atau Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

10 11 12
13 14 15
16 17A 18

 

Panglima Tentera Udara turut membuat beberapa kunjungan hormat, antaranya kepada rakan sejawatan beliau iaitu Air Chief Marshal Vivek Ram Chaudhari (VR Chaudhari). Dalam pertemuan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan udara dari segi latihan dan kepakaran. Dalam kesempatan di pertemuan tersebut juga, Panglima Tentera Udara turut menjemput Air Chief Marshal VR Chaudhari bagi menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 dan juga Indian Air Force (IAF) untuk menyertai LIMA '23. Kehadiran Panglima Tentera Udara ke pameran ini amatlah signifikan kepada TUDM dan negara amnya kerana secara tidak langsung turut mempromosikan Pameran LIMA '23 yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei 2023 nanti di Pulau Langkawi.

Selain daripada itu, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut mengunjungi beberapa booth-booth pempamer yang terlibat. Beliau dan delegasi turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemain utama industri pertahanan antarabangsa, antaranya Syarikat Rosoboronexport yang merupakan syarikat pensenjataan negara Rusia bersama United Aircraft Corporation (UAC) dan Syarikat Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd (ATSC). Beliau turut mempelawa syarikat tersebut untuk menyertai LIMA '23 selain mengadakan perbincangan berkenaan penyelenggaraan pesawat Sukhoi. Panglima Tentera Udara turut mengadakan pertemuan bersama Syarikat Lockheed Martin Corporation iaitu sebuah syarikat penerbangan aeroangkasa, pertahanan, keselamatan dan teknologi global Amerika Syarikat serta beberapa booth pempamer yang lain.

19 20 21
22 23 24
25 26 27

 

Panglima Tentera Udara turut menghadiri mesyuarat tertutup Menteri-Menteri Pertahanan pada 14 Feb 23. Di majlis tersebut, Menteri Pertahanan India, HE Rajnath Singh di dalam ucapannya antara lain menekankan kepada keperluan bagi kerjasama yang lebih kukuh di antara negara ketika senario keselamatan semakin kompleks. Panglima Tentera Udara turut menjadi tetamu jemputan yang menghadiri Air Chief Roundtable atau Mesyuarat Ketua-ketua Tentera Udara. Antara pengisian program ialah perkongsian daripada Tentera Udara India (IAF) yang telah menyampaikan taklimat kepada perwakilan mengenai pengalaman negara itu dalam memindahkan rakyatnya dari Afghanistan selepas pengunduran tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat pada Ogos 2021 dan juga mempamerkan keupayaan dron India.

Berada di negara pengendali pesawat pejuang Tejas memberikan peluang terbaik kepada Panglima Tentera Udara dan delegasi melawat ke kilang pembuatan pesawat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) di Selatan India. Pada hari Rabu,15 Feb 23, beliau melawat lokasi pembuatan pesawat tempur ringan (LCA) Tejas HAL di Bangalore. Pegawai HAL turut menyampaikan taklimat mengenai kompleks tersebut serta kemudahan pengeluarannya. Panglima Tentera Udara turut menaiki kokpit Tejas untuk melihat lebih dekat peralatan yang terdapat di dalam pesawat pejuang itu. Terdahulu, pada 14 Feb 23, beliau mengadakan perbincangan dengan pegawai HAL mengenai perkhidmatan penyelenggaraan jet pejuang Sukhoi-30 buatan Rusia yang digunakan oleh Malaysia. HAL telah membina pesawat SU-30 MKI pelbagai fungsi menggunakan lesen daripada United Aircraft Corporation (UAC) Rusia.

Aero India 2023 merupakan pameran udara antara yang terbesar di dunia dan menjadi platform bagi pemain industri pertahanan aeroangkasa dunia mempamerkan produk serta inovasi terbaru sistem pertahanan udara. Pameran pada kali ini telah menarik lebih 800 peserta pameran, termasuk kira-kira 110 peserta dari luar negara. Panglima Tentera Udara dan isteri turut menzahirkan terima kasih dan penghargaan khususnya kepada Kolonel Mohd Mansor bin Mohd Sharip, Atase Pertahanan di Delhi dan isteri Puan Aishah binti Ahmad serta pihak kedutaan yang telah melancarkan program sepanjang beliau berada di India.