BANTING, 11 Mac 2022 - Satu upacara khas iaitu Penganugerahan Beret Kehormat Pasukan Khas TUDM (PASKAU) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah diadakan hari ini di Pangkalan Udara Jugra.
Terdahulu, beliau telah menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri daripada 11 orang pegawai dan 100 anggota Lain-lain Pangkat, diketuai oleh Mejar Hasnizam bin Harun TUDM dan diiringi Pancaragam Akademi Tentera Udara, Ipoh dibawah pimpinan Leftenan Muhamad Haniff bin Che Razak TUDM.
Upacara Pemakaian Beret Kehormat PASKAU kepada Panglima Tentera Udara (PTU) disempurnakan oleh Panglima Rejimen TUDM, Brigedier Jeneral Meor Ahmad Kamal bin Hj Meor Termizi TUDM. Penganugerahan Beret Kehormat PASKAU adalah kesinambungan pengiktirafan PASKAU kepada Panglima Tentera Udara berlandaskan sifat kepimpinan, kewibawaan, kecemerlangan dan semangat waja dalam menerajui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta sumbangan bakti terhadap pembangunan dan pemerkasaan keupayaan tempur PASKAU khususnya.
Turut hadir menyaksikan upacara bersejarah ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; pegawai-pegawai kanan TUDM serta warga Pangkalan Udara Jugra.
Selain itu, Panglima Tentera Udara turut meninjau kemudahan latihan di Pusat Akuatik dan pameran peralatan PASKAU serta meluangkan masa menyantuni warga pangkalan.
Seluruh warga TUDM mengucapkan tahniah di atas penganugerahan Beret Kehormat PASKAU ke atas Panglima Tentera Udara. Cepat Senyap Pasti!
#TenteraUdaraDirajaMalaysia
#SentiasaDiAngkasaRaya
#PASKAU