KUALA LIUMPUR, 9 Mei 24 – Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 telah melabuhkan tirai setelah mula berlangsung sejak 6 hingga 9 Mei 2024. Penganjuran ini sekali gus telah membuktikan kejayaan Kementerian Pertahanan Malaysia dalam mengepalai industri pertahanan negara yang semakin berkembang sebagai tunjang utama pembangunan negara.
Penganjuran pameran selama empat hari ini telah memecah rekod dengan pencapaian penyertaan sebanyak 1,324 buah syarikat dari 60 buah negara, termasuk 588 Orang Paling Berpengaruh (VVIP) melibatkan delegasi asing dari 45 buah negara. MINDEF telah menandatangani 40 dokumen bernilai RM7.3 bilion semasa pameran berlangsung. Pameran ini juga telah menerima kehadiran pembesar-pembesar negara yang terdiri daripada kerabat-kerabat Diraja, menteri- menteri, serta delegasi-delegasi luar negara. Turut hadir adalah rakan strategik Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha serta Panglima-panglima Perkhidmatan dari pelbagai negara.
Pameran ini berperanan sebagai hab penting bagi mendepani cabaran pertahanan yang kompleks meliputi kepelbagaian geopolitik masa kini menerusi sesi dialog dan perkongsian kepakaran. Usaha kolektif ini adalah penting bagi membawa perubahan positif ke arah menjamin daya tahan pertahanan negara. Tekad positif ini membuktikan strategi atau aspirasi Kementerian Pertahanan dalam mendukung Kertas Putih Pertahanan melalui perkongsian berwibawa. Komitmen ini dapat membantu negara menerokai peluang kolaborasi strategik dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.
Majlis Penutup Pameran DSA & NATSEC Asia 2024 telah menampilkan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk menutup dan mengumumkan penganjuran Pameran DSA & NATSEC Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026 bagi edisi DSA ke-19 dan edisi NATSEC Asia ke-4.
Turut berlangsung semasa majlis adalah penyampaian cek dari DSA Exhibition & Conference Sdn. Bhd. kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bernilai RM100,000.00 sebagai dana siswazah bagi menyokong peningkatan pendidikan anak-anak ATM dan PDRM.
Hadir sama adalah Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM.